KUALA LUMPUR – DAP tidak mengiktiraf golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan bekas wakil rakyat yang dikaitkan dengan isu berkenaan tidak lagi mewakili parti itu.
Ketua Wanita DAP, Chong Eng yang juga Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam Pulau Pinang berkata, wanita yang dikaitkan dengan perkahwinan sejenis itu sudah berundur dari politik dan kini menetap di Amerika Syarikat (AS).
“Isu ini perlu dihentikan. Tindakan pihak yang menggunakan isu perkahwinan sejenis dipercayai bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balik Pulau yang tular di media sosial kononnya disokong kerajaan adalah tidak berasas.
“Bekas ADUN ini difahamkan sudah menetap di AS selepas meninggalkan Malaysia yang beliau tidak lagi mewakili DAP selepas berundur dari politik. Kita juga tidak mengetahui apa-apa yang dilakukan dia selepas pergi ke negara itu,” katanya seperti dilaporkan media hari ini.
Sebelum itu, tular di media sosial perkahwinan sejenis memaparkan dua wanita membabitkan warga tempatan dan luar negara di sebuah premis inap desa persendirian di Balik Pulau awal minggu ini.
Difahamkan perkahwinan terbabit dikatakan berlangsung bulan lalu dan dihadiri ahli keluarga serta teman rapat.
Kelmarin, Yang Dipertua Majlis Islam Negeri Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan berkenaan. -MalaysiaGazette