Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media selepas hadir ke Minggu Usahawan Negara 2023 dan Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) 2023 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN 09 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN),  Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pemimpin politik dalam negara untuk tidak melakukan ‘pembunuhan karakter’ terhadap mana-mana individu.

Beliau berkata sedemikian sebagai mempertahan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang didakwa membangkitkan isu 3R dalam kenyataan berkaitan ‘gelombang hijau’ bakal meruntuhkan kuil dan tokong sekiranya menang pada Pilhan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Tegasnya, kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Bagan itu sudah lama malah sengaja diulang bagi memburukkan namanya.

“Ianya berlaku beberapa lama yang sudah tetapi diulangkan untuk memburukkan nama YB Lim Guan Eng. Saya fikir kalau kita berbeza politik pun, eloklah perbezaan politik itu dengan akhlak politik yang baik. Janganlah melakukan character assassination kepada sesiapa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Minggu Usahawan Negara (MUN) & Minggu PMKS Peringkat Kebangsaan 2023 di Dataran Merdeka hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga mengakui telah membaca laporan asal dan menegaskan ianya disalah tafsir oleh sebuah portal berita.

Portal berita terbabit memetik China Press yang melaporkan berita mengenai ucapan Guan Eng dalam satu acara keagamaan sempena Jelajah Raja Naga Putih Tian Fu Gong di Jelutong, Pulau Pinang pada 7 Julai lalu.

Guan Eng kemudian tampil menafikan laporan berita yang mengatakan beliau mendakwa ‘gelombang hijau’ di Pulau Pinang akan mengakibatkan tokong Buddha atau Cina dirobohkan.

Menurut beliau, ucapannya dalam bahasa Mandarin baru-baru ini telah diputarbelitkan dan laporan portal tersebut adalah tidak benar.

Ahli Parlimen Bagan itu menjelaskan, beliau sebenarnya merujuk kepada kes sebuah kuil Hindu di Kedah yang dirobohkan pada Julai 2020.

“Saya amat kesal ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah sengaja memutarbelitkan ucapan saya dan menggambarkan seolah-olah membakar sentimen perkauman agama dan kaum.

“Langsung tidak terlintas di fikiran saya untuk menggunakan isu 3R (raja, kaum dan agama) untuk meraih undi kerana saya yakin ia hanya akan memudaratkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di dalam negara,,” katanya dalam hantaran Facebook. – MalaysiaGazette