Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) muktamad bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri bulan depan.

Timbalan presidennya, Amira Aisya Abd Aziz menegaskan, pihaknya tidak akan menerima sebarang tawaran menjadi parti komponen mana-mana gabungan jika terpaksa menggadaikan prinsip dan pendiriannya.

“Pendirian MUDA sejak ditubuhkan jelas memperjuang masyarakat berbilang kaum, fight for reformasi, MUDA berjuang menolak rasuah dan salah guna kuasa, tidak pernah berubah.

“Yang paling utama adalah untuk memastikan apabila MUDA bertanding, prinsip dan pendirian yang selama ini diperjuang tidak boleh digadaikan. Jadi tidak kiralah tawaran bagaimana sekali pun sekiranya terpaksa menggadaikan prinsip, MUDA tidak akan menerima tawaran tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program #MUDAhustle di Bangsar hari ini.

Mengulas lanjut, Amira Aisya berkata, percanggahan pendirian dengan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) yang menerajui kerajaan pada masa ini juga menjadi faktor MUDA bertanding secara solo.

“MUDA mengambil keputusan ini (bertanding solo) kerana sedar pendirian kami dengan pendirian PH-BN sekarang sudah berbeza. Kita tidak boleh hanya meletakkan pendirian itu kepada kedudukan semata-mata, jika MUDA terpaksa beralih arah untuk mempertahan pendirian, kita akan lakukan dan itu yang sedang kita lakukan.

“Jadi mungkin untuk PRN kali ini, memang keputusan daripada MUDA untuk bertanding secara sendiri itu adalah satu keputusan yang telah dimuktamadkan,” katanya lagi.

Amira Aisya berkata, keputusan sedemikian diharap dapat memberi mesej jelas terutamanya kepada PH-BN bahawa janji yang diberi kepada rakyat sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 lalu perlu ditunaikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast