KUALA LUMPUR – MCA dan MIC diyakini kekal menjadi parti komponen gabungan Barisan Nasional (BN), kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Malah Pengerusi BN itu menyifatkan lamaran yang dibuat gabungan parti blok pembangkang terhadap kedua-dua parti komponen itu sebagai perkara lazim menjelang pilihan raya.
“Di mana-mana Pilihan Raya Kecil (PRK) apatah lagi Pilihan Raya Negeri (PRN), tambahan pula Pilihan Raya Umum (PRU) mesti tawaran-tawaran ini akan dilakukan mereka.
“Tetapi saya yakin, MCA dan MIC akan tetap bersama BN,” tegasnya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Minggu Usahawan Negara (MUN) & Minggu PMKS Peringkat Kebangsaan 2023 di Dataran Merdeka hari ini.
Baru-baru ini media melaporkan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor mahu MCA serta MIC menyertai PN dan menawarkan tempat untuk calon kedua-dua parti itu bertanding di kerusi campuran pada PRN tidak lama lagi.
Beliau membuat tawaran berkenaan selepas MCA dan MIC membuat pengumuman mengejut kedua-dua parti komponen itu tidak akan bertanding di mana-mana kerusi pada PRN kali ini.
Bagaimanapun, kurang 24 jam susulan tawaran dibuat, kedua-dua parti menolak lamarannya.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, melalui akuan Facebook beliau sekadar menjawab “No” dengan memuat naik tangkap layar berita disiarkan sebuah portal mengenai pelawaan Muhammad Sanusi itu.
Reaksi sama turut diberikan Presiden MIC, Tan Sri Dr SA Vigneswaran yang menegaskan parti itu masa ini tidak dapat mempertimbang tawaran untuk bekerjasama dengan PN dalam PRN nanti.
Sementara itu, mengenai bekas Timbalan Ketua UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang mahu menyertai Bersatu selepas dipecat Januari lalu, Ahmad Zahid hanya mengucapkan selamat maju jaya kepadanya.
“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada beliau (Tun Faisal). Kita (BN) hanya perlukan ahli-ahli dan pemimpin yang setia sahaja dalam UMNO dan BN,” katanya. – MalaysiaGazette
Hoi Hoi Yahoi ZAHID HAMIDI yakin MCA MIC PATUH SETIA tidak khianat tapi akarumbi UMNO sendiri pun di KHIANAT oleh ZAHID MORAL disini MCA MIC TIDAK YAKIN pada ZAHID HAMIDI… eee berapa jam lagi ni .. PRN 6 NEGERI… ZAHID HAMIDI dah bersiap-siap kah ? Sayonara Sayonara Sayonara Goodbye Goodbye.. makna Hariraya KORBAN ZAHID dan puak-puak dibukukan.