Cerun tersebut dilaporkan runtuh susulan hujan lebat sejak 1 Julai lalu.

BALIK PULAU – Sebahagian Jalan Mengelilingi Balik Pulau – Teluk Bahang ditutup kepada orang awam dan semua kenderaan bermula hari ini.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, penutupan sebahagian laluan itu dilakukan susulan kejadian cerun runtuh.

Jelasnya, penutupan dibuat sehingga ke suatu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Bagaimanapun, katanya, penghuni dan pekebun yang tinggal di kawasan itu dibenarkan menggunakan laluan terbabit.

Laluan tersebut ditutup sehingga ke satu tarikh kelak.

“Penutupan ini adalah susulan kejadian cerun runtuh akibat hujan lebat yang berlaku sejak 1 Julai lalu. Ia ditutup kepada semua kenderaan dan orang awam bermula hari ini sehingga diberitahu kelak bagi menjamin keselamatan.

“Pengguna juga dinasihati merancang perjalanan dan laluan alternatif lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu, papan tanda akan dipasang di kawasan tapak bagi panduan pengguna jalan raya.

“Kita harap semua pengguna dan orang awam mematuhi tanda arah dan papan tanda keselamatan yang disediakan serta memberi kerjasama,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut, boleh hubungi Pejabat JKR Daerah Barat Daya di talian 04 866 9040 atau laman sesawang aduan http://aduan.jkr.gov.my. – MalaysiaGazette