ISKANDAR PUTERI — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluluskan peruntukan sebanyak RM569,997 bagi menaik taraf kemudahan Klinik Kesihatan (KK) Sungai Mati di Tangkak.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata,
“Setakat ini, tender projek telah berada di fasa terakhir dan menunggu kelulusan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ),” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin Nisa Ismail memberitahu, beliau berhasrat untuk menyediakan kemudahan lokar ubat di tiga lokasi iaitu di Pasaraya Nafas (Tanjung Agas), Klinik Desa Kesang dan Klinik Kesihatan Sungai Mati.
“KK Sungai Mati mengambil inisiatif ini (kemudahan lokar) bagi memudahkan pengambilan ubat kepada pesakit bagi mengelakkan mereka untuk bergerak jauh untuk ke KK berkenaan,” katanya.
Seramai 2,100 orang dijangka mendapat manfaat daripada kemudahan tersebut, tambah beliau.
Khairin Nisa berkata, KK berkenaan yang hanya mampu menampung seramai 60 pesakit sehari itu juga akan dilengkapi perkhidmatan X-ray bagi kemudahan pesakit yang ingin mendapatkan rawatan tersebut.
“Ini kerana, pesakit yang ingin menjalani perkhidmatan X-ray perlu ke daerah Muar dan ini secara tidak langsung mendatangkan kesukaran kepada pesakit,” katanya. -MalaysiaGazette