KUANTAN – Kemalangan di antara tiga buah kenderaan di Jalan besar Kerdau-Temerloh hari ini telah meragut nyawa seorang lelaki yang tersepit di dalam kenderaan.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah lori dengan sebuah kereta jenis Proton Saga dan sebuah lagi kereta jenis Proton Satria.
“Mangsa yang maut dilaporkan akibat tersepit adalah pemandu Proton Satria,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulfadli berkata, dua lagi mangsa yang terlibat iaitu seorang wanita yang memandu kereta Proton Saga yang dilaporkan hanya mengalami kecederaan manakala pemandu lori terbabit selamat.
Sebelum itu, bomba menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada pukul 2.10 petang.
Sejurus menerima laporan, katanya seramai tujuh anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh dikejarkan ke lokasi.
Mangsa yang meninggal dunia kemudian diserahkan kepada pihak polis dan mangsa yang cedera dibawa ke hospital menggunakan jentera Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan bomba untuk rawatan lanjut. – MalaysiaGazette