KUANTAN – Kementerian Kesihatan (KKM) dalam proses mempertimbang permohonan rayuan pegawai perubatan yang baharu menerima lantikan tetap untuk ditempatkan ke lokasi pilihan mereka.
Timbalan Menterinya, Lukanisman Awang Sauni berkata, mereka diminta melapor diri di negeri yang ditetapkan KKM .
“Kita akan mempertimbang beberapa perkara atau pemberat-pemberat dan menentukan jika kita bersetuju untuk mengekalkan doktor tersebut di hospital sedia ada atau saya melihat ada keperluan untuk semua doktor kontrak yang mendapat tetap ini melapor diri di negeri negeri yang mereka dapat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan ASEAN EOC Network : Gebeng Simulation Exercise (GSE) 2023, di sini, hari ini.
Menurut Lukanisman, pihaknya menerima banyak permohonan rayuan penempatan pilihan daripada pegawai perubatan yang baru dilantik ke jawatan tetap.
“Rayuan yang dibuat itu antaranya atas faktor kesihatan, peribadi, keluarga dan ada juga yang sedang menajalani latihan sebagai pakar. Perkara-perkara ini kita akan pertimbangkan sewajarnya,” ujarnya.
Mengulas berkaitan sistem eHousemen (eHO), Lukanisman berkata, sistem tersebut akan ditambah baik dari masa ke masa bagi memberi keselesaan kepada pegawai perubatan.
“Sebab perkara ini akan berterusan kerana seperti diumum Perdana Menteri, hampir 12,000 doktor kontrak akan diserap ke jawatan tetap mengikut tahun sehingga 2025,” katanya.
Sehingga 23 jun lalu, KKM menerima lebih 1,000 rayuan daripada pegawai untuk dikekalkan di penempatan semasa.
Antara alasan yang diberikan ialah pegawai menghadapi masalah kesihatan diri dan keluarga; tidak bersetuju untuk berkhidmat di Sabah, Sarawak dan Labuan; penempatan menyebabkan pegawai terpaksa tinggal berjauhan dengan pasangan dan pegawai akan atau memulakan pengajian kepakaran.
Pelaksanaan pengambilan tetap itu menyebabkan pegawai lantikan kontrak yang tidak disandarkan atas jawatan sebelum ini perlu mengisi perjawatan tetap mengikut waran perjawatan berkuat kuasa, dan KKM menjangkakan berlaku kekurangan pegawai buat sementara waktu di fasiliti kesihatan tertentu. – MalaysiaGazette