ALOR SETAR – Sebanyak 23 laporan diterima Polis Kedah setakat hari ini berhubung kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng membabitkan kenyataan dipercayai menyentuh isu berkaitan 3R iaitu bangsa (race), agama (religion) dan raja (royalty).

Bagaimanapun, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, siasatan berhubung kes itu dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.

Kes disiasat Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, katanya.

“Sekali lagi, kita ingin nasihatkan orang ramai agar tidak menyentuh isu sensitiviti 3R ini khususnya yang ditularkan media sosial kerana boleh menggugat keharmonian dan kesejahteraan di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Bagan itu disiasat selepas mendakwa gelombang hijau bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang ketika berucap dalam program ‘Tian Fu Gong Bai Long Wang Singapore-Malaysia’ di Jelutong, Pulau Pinang baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, Fisol berkata, pihaknya tidak  teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas sesiapa yang menyentuh isu 3R sehingga menimbulkan kegusaran di kalangan masyarakat.

“Kita mohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi undang-undang agar proses PRN berjalan lancar dan keamanan negeri Kedah dapat dikekalkan,” katanya. – MalaysiaGaezette