MADRID – Penyelamat Sepanyol sedang mencari bot yang membawa sekurang-kurangnya 200 pendatang asing Afrika yang hilang lebih seminggu lalu di perairan Kepulauan Canary .
Kumpulan bantuan Walking Borders berkata, bot nelayan itu belayar dari Kafountine, sebuah bandar pantai di selatan Senegal yang terletak kira-kira 1,700km (1,057 batu) dari Tenerife.
Agensi berita Efe melaporkan, ramai kanak-kanak berada di atas bot berkenaan.
Dua bot serupa yang membawa berpuluh-puluh lagi orang juga dikatakan hilang.
Salah satu bot membawa kira-kira 65 orang di atas kapal, satu lagi sehingga 60 orang – menjadikan jumlah orang yang hilang dalam tiga bot itu lebih 300 orang.
Bot yang membawa kira-kira 200 orang itu meninggalkan Kafountine pada 27 Jun, menuju ke Kepulauan Canary.
Perkhidmatan penyelamat maritim Sepanyol memberitahu Efe sebuah pesawat telah menyertai pencarian tersebut.
Walking Borders berkata, kehilangan penumpang itu dilaporakan selepas beberapa minggu salah satu kapal pendatang Mediterranean karam di luar pantai Greece.
Sekurang-kurangnya 78 orang disahkan lemas, tetapi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, sehingga 500 masih hilang.
Pelayaran dari Afrika Barat ke Kepulauan Canary adalah antara laluan paling berbahaya bagi pendatang, apatah lagi kerana mereka belayar dengan bot nelayan sederhana yang mudah dilambung arus Atlantik yang kuat.
Tahun lalu sekurang-kurangnya 559 orang maut di laut ketika cuba sampai ke pulau Sepanyol, kata Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) PBB.
Jumlah kematian bagi tahun 2021 ialah 1,126. – Agensi