MONTREAL- Arab Saudi dilantik sebagai presiden Jawatankuasa Keselamatan Penerbangan, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bagi 2023-2024.
Agensi Akhbar Saudi melaporkan, pengumuman dibuat pada sesi keenam majlis pertubuhan ICAO ke-229 yang diadakan di Montreal, Kanada.
Keputusan itu menonjolkan peranan penting Arab Saudi dan usaha positifnya menyokong industri pengangkutan udara di peringkat serantau dan antarabangsa, dan mencerminkan kedudukan negara itu dalam forum penerbangan awam antarabangsa.
Tugas utama Jawatankuasa Keselamatan Penerbangan Majlis ICAO adalah untuk mengemukakan cadangan kepada majlis mengenai dasar, hala tuju strategik, keutamaan, dan aktiviti perancangan yang berkaitan dengan keselamatan penerbangan, di samping menyediakan perundingan kepada majlis mengenai cadangan piawaian dan keselamatan antarabangsa.
Jawatankuasa itu akan menilai ancaman baharu terhadap penerbangan awam antarabangsa dan akan mengambil langkah yang perlu untuk melindungi penerbangan awam daripada tindakan campur tangan yang menyalahi undang-undang.- Agensi