Onn Hafiz (dua dari kanan) mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Kewangan, datuk Sei Ahmad Maslan di Kementerian Kewangan, Putrajaya hari ini.

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyatakan pelaksanaan kerja-kerja naik taraf dan pelebaran jalan di dua lebuh raya utama di negeri itu bakal dipercepatkan.

Ia akan dilaksanakan lebih awal bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negeri itu.

Katanya, projek yang dipercepatkan termasuklah kerja naik taraf dan pelebaran jalan di Lebuh Raya Utara Selatan dan juga Lebuh Raya Senai-Desaru yang sepatutnya bermula penghujung tahun depan.

“Pembinaan lorong memotong di Senai-Desaru Expressway (SDE) akan dimulakan pada November 2023, manakala Projek Pelebaran Jalan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) pula akan dimulakan pada Februari 2024.

“Alhamdulillah, perkara itu berjaya dicapai menerusi mesyuarat penyelarasan antara Kerajaan Negeri, Kementerian Kewangan dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

“Dalam perjumpaan tersebut, beberapa perkara telah dibangkitkan dan dibincangkan terutamanya mengenai infrastruktur dan pembangunan ekonomi demi kesejahteraan Bangsa Johor,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Kata Onn Hafiz lagi, kerajaan negeri turut menerima peruntukan berjumlah RM4.5 bilion bagi pelaksanaan 496 projek pembangunan di negeri ini sepanjang tahun 2023.

“Alhamdulillah, semua ini tidak akan dapat dilaksanakan dan direalisasikan tanpa kerja keras semua pihak, baik di peringkat Kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri,” katanya.-MalaysiaGazette