KUALA LANGAT – Sebuah lori tangki minyak dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah kilang membawa kepada tangkapan kegiatan penyeludupan diesel di Jalan Sungai Rambai, Jenjarum baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, lori berkenaan ditahan oleh sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan Unit Rondaan Cegah Jenayah Balai Polis Sungai Jarom semasa terlibat dalam rondaan mencegah jenayah di kawasan Banting.
“Polis melaksanakan serbuan pada jam lebih kurang 3.40 petang selepas melihat lori tangki itu berada dalam keadaan mencurigakan di hadapan kilang.
“Pasukan kami kemudian menjalankan pemeriksaan terperinci ke atas lori sebelum menjumpai minyak diesel bersubsidi anggaran sebanyak 25,000 liter dalam tangki kenderaan berat itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan daripada rampasan lori bersama diesel bersubsidi itu pihaknya telah menjalankan siasatan lanjut sebelum berjaya membuat tangkapan ke atas pemandu lori berkenaan selain tiga lagi individu disyaki pekerja di premis tersebut.
Menurutnya, keempat-empat individu yang ditahan itu adalah berusia lingkungan antara 33 hingga 48 tahun dan dibawa balai polis untuk siasatan lanjut.
“Polis juga berpandukan hasil soal siasat telah melakukan pemeriksaan di dalam kilang tersebut sebelum berjaya menemui dan merampas 18 buah tangki berisi 1,000 liter minyak diesel bersubsidi dalam setiap tong, satu unit mesin meter penyukat minyak dan sebuah lori tangki.
“Pemeriksaan awal mendapati jumlah keseluruhan minyak diesel yang dirampas polis dalam serbuan itu adalah sebanyak 43,000 liter,” ujarnya.
Sindiket penyeludup diesel bersubsidi terlibat dalam kegiatan melanggar undang-undang itu hampir tiga bulan yang lalu.
“Selain itu, siasatan lanjut kami juga mendapati modus operandi sindiket berkenaan adalah menjadikan premis kilang itu sebagai setor untuk menyimpan diesel subsidi yang diseludup itu untuk pengedaran kelak.
“Malah semakan ke atas empat suspek yang ditahan itu mendapati dua daripadanya mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah,” kata Ahmad Ridhwan.
Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan suspek akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk tujuan perintah reman. – MalaysiaGazette