KUANTAN – Kenyataan tidak berasas Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang mendakwa ‘Gelombang Hijau’ akan memusnahkan tokong disifatkan tidak wajar dan tidak matang daripada sudut pemikiran seorang pemimpin veteran sebuah parti politik Malaysia.
Exco Pemuda Perikatan Nasional (PN), Khairul Amilin Abdullah Shukor berkata, tindakan Guan Eng itu sekali gus menyalakan kebencian antara agama dan dilihat sebagai satu hasutan dan provokasi bagi umat Islam di negara ini.
”Pada masa yang sama, kenyataan beliau juga menimbulkan rasa kurang senang rakan-rakan bukan Islam yang mana dikhuatiri akan menimbulkan perbalahan dan salah faham. Dek kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
”Pemuda Perikatan Nasional Indera Mahkota yang dianggotai oleh Armada Bersatu dan Pas serta Gerakan melihat kenyataan kurang pintar ini boleh menggugat keamanan negara dan kestabilan ekonomi.
”Paling penting kenyataan berbau fitnah ini juga dianggap kurang ajar dan tidak peka dengan sensitiviti antara agama juga kaum. Jelas ia membuat semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan berasa resah dan kesal dengan apa yang cuba dimomokkan oleh Pengerusi DAP Kebangsaan tersebut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Tambah Amilin yang juga Exco Armada Bersatu Malaysia, pihaknya menegaskan adalah tidak wajar bagi seorang pemimpin veteran mencampur aduk rasa benci dan prasangka peribadi terhadap agama juga kaum lain demi menakut-nakutkan khalayak.
Amilin berkata, sebagai pemimpin senior, Guang Eng seharusnya lebih wajar peka terhadap perkara sensitif agar tidak sampai mencacatkan rasa hormat-menghormati agama dan budaya masing-masing.
”Sebagai pemimpin wajar tahu di mana batasnya bila bercakap dan pastikan ia berasas. Bukan sebaliknya. Apakah beliau selesa melihat rakyat huru-hara dan hidup penuh rasa benci serta prasangka sedangkan beliau terus berkuasa?
”Rakyat tidak rela, kerana kata-kata dungu pemimpin tua DAP ini, akan merosakkan hubungan kita dalam bermasyarakat. Batas-batas inilah yang bernama keadilan mengikut hukum budi,” katanya. – MalaysiaGazette