Presiden Joko WIdodo tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kertajati, Jawa Barat, hari ini. Foto FB Jokowi

MAJALENGKA, JAWA BARAT- Presiden Joko Widodo (Jokowi) berharap minat pelabur asing untuk mengurus Lapangan Terbang Antarabangsa Kertajati Jawa Barat akan meningkatkan trafik di lapangan terbang yang dibuka pada 2018 itu.

Agensi Berita ANTARA melaporkan, walaupun Jokowi tidak mendedahkan perincian pelabur tersebut namun beliau mengakui terdapat lebih daripada satu negara telah menunjukkan minat.

“Pelbagai negara menyatakan minat dan kami akan memutuskan pada Oktober depan mengenai pengendali baharu lapangan terbang itu yang sebahagiannya menjadi milik mereka.

“(Ia) dari beberapa negara, bukan satu, dan kami menjangkakan ia selesai menjelang Oktober. Semuanya dalam proses, dan sebaik sahaja mereka masuk, kami akan membincangkan peratusan ekuiti,” katanya pada sidang media di lapagan terbang di sini, hari ini.

Tambah Jokowi, pembabitan pelabur asing dalam pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Kertajati itu akan membantu meningkatkan trafik penerbangan.

Sementara itu, pada sidang media pada Disember 2022, Menteri Pengangkutan Budi Karya Sumadi menamakan India dan Arab Saudi sebagai dua negara yang menyatakan minat untuk mengurus Lapangan Terbang Antarabangsa Kertajati.

Ia adalah hasil lawatan kerja beliau ke kedua-dua negara pada awal bulan yang sama.

Sehingga 28 Mei 2023, Lapangan Terbang Antarabangsa Kertajati berfungsi sebagai pusat pelepasan  jemaah haji dan umrah di Jawa Barat.

Lapangan terbang itu, satu daripada Projek Strategik Nasional (PSN) di Jawa Barat, merupakan lapangan terbang kedua terbesar di Indonesia selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Banten.

Ia mempunyai kapasiti untuk mengurus 5.6 juta penumpang setiap tahun.- Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast