Antara barangan yang berjaya dirampas polis dalam kegiatan pecah rumah oleh Geng Eddy.

PONTIAN – Polis Johor melumpuhkan jenayah pecah rumah di empat daerah di negeri ini dengan tertangkapnya lima ahli Kumpulan Eddy.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, hasil semakan mendapati kumpulan itu aktif melakukan pecah rumah di daerah Pontian, Batu Pahat, Tangkak dan Muar.

“Mereka yang berusia antara 4 hingga 34 tahun itu berjaya diberkas dalam serbuan di Sanglang dan Ayer Baloi Pontian, Forest City di Gelang Patah dan Johor Bahru bermula 3 Julai sehingga semalam.

“Susulan tangkapan ini polis berjaya merampas wang tunai, pelbagai barang kemas, beg berjenama, telefon bimbit, jam tangan, komputer riba termasuk resit jualan dan barang pecah rumah,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pontian, hari ini.

Mohammad Shofee, kumpulan itu didapati aktif melakukan jenayah pecah rumah sejak Mei lalu.

Tambah beliau, semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Katanya, tiga daripada lima suspek direman selama 14 hari dan dua lagi akan mula direman pada hari ini kerana tangkapan dilakukan petang semalam.

Mohammad Shofee berkata, kes disiasat di bawah seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan bagi mana-mana kesalahan dilakukan bagi kali kedua atau kemudian boleh dikenakan denda atau sebatan.-MalaysiaGazette