Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz. Foto FAREEZ FADZIL, 10 November 2022.

KUALA LUMPUR – Kecuaian pihak mewakili bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak membetulkan kesilapan laporan sebuah akhbar berkaitan isu nilai pelaburan RM600 bilion dipertikai.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kesilapan laporan berlaku selama selama tiga hari sebelum beliau mengulas perkara tersebut.

“Tun, laporan Sinar Harian keluar Sabtu, 8 Julai. Saya ulas Isnin malam 10 Julai. Lepas saya ulas barulah ada pembetulan 11 Julai.

“Sabtu sampai Isnin tiga hari. Takkanlah dalam masa tiga hari tak ada orang-orang Tun yang minta Sinar Harian betulkan laporan? Atau sengaja tak nak betulkan sebab lebih sensasi dan menampakkan Tun hebat?

“Sedangkan satu Malaysia tahu Tun memang hebat. Tun memang selalu betul. Orang lain semua salah,” katanya selepas Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan bersifat menyindir kepada beliau hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, bukan tugasnya untuk membetulkan kesilapan yang dilakukan oleh akhbar berkenaan.

“Saya kerdil berbanding Tun. Cuma, sekerdil saya, setakat hari ini saya Menteri MITI, bukan setiausaha akhbar (SUA) Tun Dr Mahathir.

“Tugas saya soal pelaburan dan betulkan sebarang persepsi negatif tentang kendalian pelaburan. Belum jadi tugas saya untuk betulkan bila media salah lapor kenyataan Tun,” katanya.

Tengku Zafrul sekali lagi menegaskan beliau tidak kisah siapa yang membawa masuk pelaburan kerana akhirnya rakyat yang akan mendapat manfaat.

Justeru beliau meminta Dr Mahathir untuk memaklumkan kepada MITI sekiranya benar ada pihak ingin membuat pelaburan berjumlah RM500 juta di Langkawi dan MITI bersedia untuk menjadi pemudahcara.

Dr Mahathir dalam satu hantaran di Facebook berkata, ekonomi suram negara boleh diatasi sekiranya Tengku Zafrul mengekalkan sifat over excited.

Dr Mahathir berkata, Tengku Zafrul kelihatan teruja dengan portal berita yang tersilap melaporkan dengan mendakwa beliau telah berjumpa dengan individu yang berhajat melabur ‘RM500 bilion’ di Langkawi.- MalaysiaGazette