Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima buku Syeikh Yusuf Al Qaradawi bertajuk “Sang Pelita Umat” dari anak penulis, Dr Mohamad Al Qaradawi selepas peluncurannya di Lanai Kijang, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN 11 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan hubungannya dengan ulama tersohor, Almarhum Syeikh Yusuf al-Qaradawi melangkau batas sebagai sahabat.

Perdana Menteri berkata, ini kerana tokoh pemikir itu menjadi rujukannya untuk bertanya pelbagai perkara bagi mendapatkan pandangan.

Menurutnya, lebih luar biasa, Syeikh Yusuf tidak pernah meremehkan pandangannya atau memperkecilkan orang lain.

“Saya ini selayaknya menjadi murid pun malu kerana dia tokoh gergasi dunia ilmu. Tapi beliau anggap kita sahabat. Ada hal kita tanya dia, ada hal dia tanya kita. Ada hal seolah-olah dia anggap kita lebih tahu daripada dia.

“Ini untuk memberikan rasa selesa. Sikap dakwah dan kasih daripada guru menunjukkan cara ambil berat dan ambil tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Peluncuran Buku Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi Autobiografi Sang Pelita Umat di Lanai Kijang hari ini.

Anwar menambah, Syeikh Yusuf pernah berpesan agar pemimpin dunia Islam boleh bertegas dalam mempertahankan dan menegakkan agama serta kebajikan masyarakat Islam.

Namun pada masa sama menjaga hubungan baik dengan kaum dan penganut agama lain.

Jelas Anwar, pesanan tersebut dititipkan kepadanya dalam pertemuan di Qatar yang pada masa sama beliau mengadakan perjumpaan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry.

Menurut beliau, pertemuan tersebut turut disertai oleh bekas Naib Presiden AS, Hillary Clinton.

“Selepas itu saya makan dengan Syeikh al-Qaradawi. Berbeza dengan orang (lain) yang berkata (menuduh) Anwar baik dengan Amerika, itu dan ini, beliau tidak. Beliau pendekatannya lain.

“Beliau tanya berbincang soal apa dan beliau kata teruskan Anwar, kita perlu dalam kalangan pemimpin umat Islam yang boleh menyampaikan pandangan kita,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Syeikh Yusuf melontarkan pandangan berbeza dengan tohmahan diterimanya yang menggelarnya sebagai alat, perkakas bahkan ejen AS.

Namun Syeikh Yusuf mempertahankan tindakannya menjalin hubungan baik dengan dunia Barat malah turut menggalakkannya.

Sementara itu, Syeikh Yusuf meninggal dunia pada 26 September tahun lalu pada usia 96 tahun.

Sepanjang hayatnya, allahyarham menghasilkan lebih 120 buku termasuk naskhah perundangan Islam serta menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa.

Atas jasa baktinya dalam dunia Islam, kerajaan telah menganugerahkan Syeikh Yusuf sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa pada 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast