Gambar hiasan.

TAIPING – Seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan anak perempuannya yang berusia setahun 10 bulan dilaporkan positif dadah jenis amphetamin dan methamphetamin dalam kejadian di Changkat Jering, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pegawai perubatan Hospital Taiping.

Jelas beliau, susulan itu polis menahan wanita berusia 22 tahun itu bagi membantu siasatan.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dikatakan dihantar ke rumah neneknya di Changkat Jering di sini oleh ibunya atas alasan mahu membeli barang keperluan di kedai runcit yang terletak tidak jauh dari rumah nenek mangsa.

“Ketika mahu tidur, mangsa tiba-tiba menangis dan menunjukkan tingkah laku tidak terkawal menyebabkan ibu mangsa membawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

“Pemeriksaan lanjut, pegawai perubatan mendapati kanak-kanak itu positif dadah sebelum melaporkannya kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Razlam berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati ibu kepada kanak-kanak itu positif dadah jenis methamphetamin.

“Suspek tiada rekod jenayah dan siasatan lanjut termasuk bagaimana kanak-kanak itu boleh terambil dadah tersebut sedang dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya. – MalaysiaGazette