Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah) bercakap kepada media diiringi Ketua Polis Negara yang baharu, Tan Sri Razarudin Husain@Abdul Rasid (kanan) dan mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara di PULAPOL, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 22 JUN 2023.

PUTRAJAYA – Mesyuarat Kabinet hari ini meluluskan hanya syarikat penerbangan yang boleh menguruskan individu berstatus Notis Penolakan Masuk (NTL).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dicapai agar tiada pihak ketiga yang menguruskan penghantaran pulang individu berstatus itu pada masa akan datang.

“Sebelum ini pengurusan penghantaran pulang dilakukan oleh pihak ketiga iaitu Mono Circle Sdn Bhd yang dilantik sejak 12 Februari 2015,” katanya dalam sidang media di Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.

Jelas Saifuddin Nasution lagi, keputusan Kabinet  itu selari dengan Bab 5 Konvensyen Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Akta Imigresen 1959 serta 1963.

Bab 5 itu menyatakan syarikat penerbangan bertanggungjawab menguruskan penghantaran pulang termasuk makan, minum, dan tiket penerbangan pulang, katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, sejumlah 3,984,823 pengembara memasuki negara ini melalui Pintu Masuk Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 1) bagi tempoh Januari sehingga Jun tahun ini.

Bagi tempoh sama, seramai 14,977 pengembara dikenakan status NTL.

Secara puratanya, seramai 80 pengembara ditolak dari memasuki negara ini setiap hari, kata Saifuddin Nasution.

Tiga negara yang tertinggi merekodkan status NFL adalah Bangladesh, Pakistan dan diikuti India.

“Alasan dikenakan NTL adalah tiada tiket penerbangan pulang, alamat penginapan tidak jelas dan tidak mempunyai wang tunai mencukupi selain alasan keselamatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette