KUALA LUMPUR – Produk kosmetik Armila Beauty Kak ELL Pigment Booster dikesan mengandungi racun berjadual Betamethasone 17-Valerate oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM).

Susulan itu, notifikasi produk kosmetik tersebut dibatalkan dan penjualan tidak dibenarkan.

Dalam masa yang sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan menggesa orang awam supaya tidak membeli dan menggunakan produk kosmetik berkenaan.

“Produk yang mengandungi betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

“Penggunaan produk yang mengandungi bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau turut mengingatkan penjual dan pengedar produk kosmetik yang terlibat untuk menghentikan penjualan serta-merta.

“Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya lagi.

Menurutnya, individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Manakala bagi syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast