BANGI – Tindakan politik desperado diamalkan pembangkang yang masih menyentuh isu bangsa, agama dan institusi diraja (3R) tidak lagi boleh dibenarkan di negara ini.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, situasi yang mengecewakan itu memerlukan pihak berkuasa mempertimbangkan pembentukan unit khas bagi memantau amalan tersebut.
“Amat mengecewakan segelintir ahli politik tidak mengendahkan titah Raja-raja Melayu bahawa kempen tidak harus melibatkan isu 3R.
“Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu menilai keperluan untuk menubuhkan unit khas.
“Ini memandangkan apabila kita melihat beberapa angka yang dibentangkan oleh Pusat Kewartawanan Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-15, kepantasan dan jumlah besar kandungan 3R yang digunakan dalam tempoh singkat kempen amat membimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian “Global Conference on Communication, Culture and Contemporary Media” (GLOCOM) 2023 di Bangi Resort Hotel, di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas kedegilan ahli politik yang masih menggunakan isu 3R dalam kempen Pilihan Raya Negeri sejak kebelakangan ini dan ia masih berterusan.
Semalam, Fahmi mengecam kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam urusan pemilihan Menteri Besar.
Katanya, tindakan Muhammad Sanusi itu seolah-olah ‘tahu semua perkara’ dan tiada siapa yang boleh mempertikaikan beliau.
Terdahulu, media melaporkan Muhammad Sanusi dalam satu ceramah mengeluarkan kenyataan yang didakwa menghina Sultan Selangor.
Menerusi video tular dipercayai ketika menyampaikan ceramah, Muhammad Sanusi turut didakwa memperlekeh pelantikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Menurut laporan media, Sanusi dalam ceramahnya baru-baru ini, membuat perbandingan antara Sultan Kedah dan Sultan Selangor dalam melantik Amirudin menjadi menteri besar yang dilabelnya sebagai ‘cokia’. – MalaysiaGazette