Para peserta Ekspedisi Penyelidikan Saintifik Marin melakukan tugasan di atas kapal Research Vessel Discovery.

KUALA TERENGGANU – Penyertaan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam LIMA’2023 sememangnya tidak asing lagi. UMT telah menyertai beberapa siri ekspedisi penyelidikan saintifik marin yang telah berjaya dijalankan semasa LIMA 2015, LIMA 2017 dan LIMA 2019 dengan mengunakan kapal Research Vessel Discovery atau RV-Discovery yang direka bentuk khusus bagi tujuan penyelidikan oseanografi dan sains marin.

Pada tahun ini, sekali lagi UMT menyertai Ekspedisi Penyelidikan Saintifik Marin bersempena LIMA’23 diadakan di sepanjang Selat Melaka bermula pada 17 sehingga 21 Mei 2023.

Pelayaran yang bermula dari Kuala Terengganu pada 14 Mei 2023 singgah di Pelabuhan Klang sebelum memulakan aktiviti persampelan di 19 buah stesen terpilih. Seterusnya akan bergerak ke Langkawi bagi menyertai program LIMA 2023.

Untuk rekod, ekspedisi penyelidikan ini ditanggung di bawah geran jangka panjang (LRGS) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini menggabungkan sembilan penyelidik dari pelbagai bidang khusus di dalam kajian oseanografi seperti oseanografi fizikal, oseanografi geologi, oseanografi biologi dan oseanografi kimia.

Menariknya pelayaran ini diketuai oleh saintis wanita iaitu Dr Nur Hidayah Roseli yang juga merupakan pakar dalam bidang oseanografi fizikal dan turut disertai oleh dua penyelidik serta dibantu oleh tiga pegawai teknikal dan sembilan pembantu penyelidik di dalam bidang masing-masing.

Kerja-kerja persampelan yang dilakukan termasuk mengambil sampel air bagi kajian mengenai plankton, nutrien dan tahap keasidan air laut. Seterusnya, data arus laut dan ciri-ciri fizikal air juga di ukur menggunakan alatan berteknologi tinggi bagi mengetahui proses fizikal laut ketika persampelan dilakukan.

Selain itu, data sedimen yang di ambil digunakan untuk mengkaji taburan dan jenis hidupan bentik di kawasan itu selain dapat mengenalpasti keadaan masa lampau sedimen
termendap tersebut dengan membuat kajian terhadap foraminifera.

Kesemua data-data yang diperoleh ini akan di bawa ke makmal untuk analisis seterusnya.

Hasil dapatan biasanya diterbitkan di dalam jurnal saintifik atau dibentangkan di dalam persidangan.

Mengimbau sejarah ekspedisi LIMA yang dilaksanakan sebelum ini telah memberikan impak yang besar kepada aktiviti penyelidikan marin dan citra UMT sebagai universiti peneraju di dalam bidang penyelidikan marin dan maritim negara.

Malah perjalanan pulang RV-Discovery daripada LIMA dapat dijadikan medium pembelajaran kepada pelajar-pelajar Ijazah Sains Nautika sebagai amali lapangan yang
berkesan di dalam mempraktikkan ilmu yang diperolehi di dalam bilik kuliah.

Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar berharap Ekspedisi Penyelidikan Saintifik Marin pada kali ini memberi hasil dapatan kajian yang lebih terperinci
melalui penerbitan jurnal di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Tambahnya hasil dapatan ini mampu membantu negara dan Kerajaan Negeri Terengganu khususnya dalam menyalurkan informasi berkaitan dengan status dapatan saintifik terkini
penyelidikan oseanografi dari aspek biologi, kimia dan fizikal di perairan Semenanjung Malaysia secara lebih informatif dan tepat.

Hasil dapatan ini seterusnya boleh diterjemahkan kepada masyarakat untuk membantu meningkatkan taraf hidup khususnya kepada komuniti nelayan dan pesisir pantai negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast