Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Penahanan bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan baru-baru ini mungkin memberi kesan kepada perbicaraan jenayah yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak jika pasukan pendakwaan memanggil wanita itu sebagai saksi dalam kes penyelewengan 1MDB.

Jasmine dikatakan antara sekutu rapat Low Taek Jho atau Jho Low yang terbabit dalam skandal kewangan 1MDB dan disenaraikan sebagai orang dikehendaki di negara ini.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, jika kenyataan wanita itu berbeza secara keseluruhan dengan apa yang diperoleh pihak pendakwaan ketika siasatan, maka ia boleh menjadi bebanan kepada pendakwaan.

“Bagaimanapun, adakah Jasmine Loo terbabit dalam apa-apa jenayah berhubung 1MDB? Kalau ya, maka kenyataannya boleh menambahkan beban kepada Najib,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Mohamed Haniff menyatakan demikian ketika mengulas kesan kepada prosiding 1MDB jika Jasmine dipanggil sebagai saksi dalam kes skandal kewangan 1MDB.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mengesahkan polis telah Jasmine pada Jumaat berkata, peguam Jasmine memaklumkan wanita itu menyatakan kesediaan untuk bekerjasama untuk bantu siasata Polis Diraja Malaysia dan kerajaan dalam kes berkaitan 1MDB

Pada 2018, Jabatan Kehakiman AS (DOJ) memfailkan saman pelucuthakan sivil bagi merampas aset yang dikaitkan dengan skandal 1MDB dan menamakan Jasmine sebagai Pegawai 1MDB 3.

DOJ dalam saman pelucuthakan berkaitan 1MDB, menyatakan bahawa ‘1MDB Officer 3’ adalah penandatangan yang diberi kuasa ke atas akaun Tanore di Falcon Private Bank.

Akaun Tanore adalah tempat berrmulanya dana AS$681 juta didepositkan ke dalam akaun bank peribadi Najib, yang didakwa oleh bekas perdana menteri itu sebagai sumbangan daripada ahli keluarga DiRaja Arab Saudi.

Pada 20 Januari lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak dua kereta mewah dan wang berjumlah RM22,600 milik wanita itu.

Pada 4 Disember 2018, Mahkamah Majistret KL mengeluarkan waran tangkap terhadap wanita itu dan beberapa individu lain yang dipercayai terbabit dalam kes 1MDB. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast