Gambar hiasan

 

KUALA LUMPUR – Malaysia tersenarai di antara 10 negara dan rantau yang paling banyak dicari pada musim panas ini oleh tetamu Airbnb di China, dengan menduduki tempat kelapan.

Selain Malaysia, negara Asia Pasifik lain dalam senarai termasuk Thailand, Jepun, Korea dan Australia.

Pengurus Besar Airbnb untuk Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan, Amanpreet Bajaj berkata, sejak pembukaan semula perjalanan rentas sempadan di China, pengembara negara itu semakin mempertimbangkan pelbagai destinasi termasuk Malaysia, yang mencatatkan lebih daripada 10 kali peningkatan dalam carian tetamu di Airbnb tahun ke tahun.

Pada musim panas ini, bilangan tetamu China di Airbnb yang mencari penginapan luar negara awal musim panas (antara 1 Julai dan 15 Julai) meningkat hampir enam kali ganda berbanding tahun lepas.

Kira-kira separuh daripada carian mereka untuk perjalanan musim panas adalah untuk penginapan jangka sederhana hingga jangka panjang, yang menjangkau tujuh hari atau lebih.

Dalam pada itu, data Airbnb turut menunjukkan perjalanan pelancongan domestik kekal sangat popular dalam kalangan pelancong tempatan.

Jumlah malam penginapan domestik yang ditempah di Airbnb melonjak hampir 60% di Malaysia pada tahun 2022, meningkat daripada tahun 2019.

Dalam tempoh yang sama, jumlah malam penginapan domestik yang ditempah di Airbnb meningkat hampir 45% di Indonesia dan kira-kira 35% di Thailand.

“Pelancongan domestik terbukti berdaya tahan pada masa krisis dan merupakan pilihan yang memberi impak ekonomi yang lebih segera dan positif kepada ekonomi tempatan. Perjalanan hujung minggu ke destinasi berhampiran dengan tempat tinggal bukan sahaja lebih mudah untuk dirancang, tetapi juga lebih berpatutan.

“Airbnb telah terbukti menjadi pilihan yang boleh membantu menyokong pelancongan domestik, dengan menyediakan lebih banyak penginapan mampu milik di destinasi baharu. Tetamu kini boleh mengembara ke lebih banyak tempat dengan menggunakan Airbnb,” katanya.

Di Kuala Lumpur, penempah fleksibel kurang cenderung untuk menempah daerah Bukit Bintang yang paling popular (-9 peratus) dan lebih cenderung untuk tinggal di luar bandar (+7 peratus). – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast