Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR Menteri Pertahanan, Datuk Eri Mohamad Hasan mendakwa ada pihak tertentu cuba menggunakan ‘kabel’ untuk membeli Pharmaniaga Bhd dengan harga murah.

Menurut beliau, ada pihak membuat bidaan melalui pemimpin tertinggi untuk membeli syarikat berkaitan tentera itu.

Perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

“Ada orang buat bidaan melalui pemimpin tertinggi nak beli syarikat kita. Nak beli murah-murah. Jadi saya cakap tidak. Langkah mayat saya dulu.

“Biar saya uruskannya. Biar kita sama-sama uruskan syarikat kita dan saya sangat pasti kita boleh bangunkan sendiri,” katanya seperti yang dilaporkan Berita Harian.

Pharmaniaga yang ditubuhkan pada tahun 1994 adalah anak syarikat Boustead Holdings yang terlibat dalam industri farmaseutikal dan penjagaan kesihatan bersepadu.

Pharmaniaga dikelaskan sebagai syarikat Nota Amalan 17 (PN17) pada Februari tahun ini, selepas ia melaporkan kerugian bersih RM664.39 juta pada suku keempat Tahun Kewangan 2022.

LTAT memegang 8.6% saham dalam Pharmaniaga, manakala cabang pelaburannya, Boustead Holdings Bhd memiliki 52% saham.

Kerajaan melantik Pharmaniaga Logistic Sdn Bhd (PLSB), anak syarikat Pharmaniaga untuk membekalkan lebih 700 produk ubat dan bukan ubat bagi kegunaan sektor kesihatan. – MalaysiaGazette