KUALA LUMPUR – Pasukan pendakwaan tidak akan merayu terhadap kes membabitkan bekas Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli yang sebelum ini dibebaskan daripada tuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan kontrak pekerjaan bagi Labuan Liberty Port Management Sdn. Bhd. (LLPM).
Pendakwaan sepatutnya memfailkan rayuan sebelum 10 Julai ini namun difahamkan tiada notis berkaitan rayuan difailkan.
Berikutan itu, Rozman bebas tanpa perlu berdepan rayuan pendakwaan.
Sebelum ini, Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap bekas Ahli Parlimen Labuan itu.
Rozina berkata, mahkamah berpendapat, dengan sekadar mengutarakan cadangan untuk menangguhkan pelantikan operator adalah tidak memadai untuk mensabitkan tertuduh.
Katanya, mahkamah mendapati tiada bukti menunjukkan Rozman membuat keputusan dalam melantik LLPM, sebaliknya semua keputusan dalam mesyuarat dibuat secara kolektif dan bukan secara individu.
Rozman didakwa atas pertuduhan sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi LLPM, yang mana bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan dalam syarikat berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya, di antara jam 2.30 hingga 5.30 petang 21 Mac 2018.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette