Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman dan tangkap layar penjualan pingat kebesaran Pahang secara e dagang.

KUANTAN – Polis membuka kertas siasatan berhubung aduan penjualan bintang dan lencana darjah kebesaran Negeri Pahang melalui platform e-dagang tanpa kebenaran.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, pihaknya sedang menyiasat lanjut kes berkenaan dan memgesan penjual dan pembeli yang terlibat.

Menurutnya, tindakan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 3(1)(c) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017.

“Pada 11 Julai 2023, polis daerah Pekan telah menerima laporan berkaitan aktiviti penjualan bintang dan lencana darjah kebesaran Negeri Pahang melalui platform e-dagang tanpa kebenaran.

“Tiada seorang pun boleh kecuali dengan kebenaran bertulis daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan membuat bagi maksud jualan atau menjual atau mempamer untuk jualan atau memiliki untuk dijual, apa-apa lambang, gelaran atau anugerah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pahang, hari ini.

Selain itu, polis juga ingin mengingatkan masyarakat bahawa adalah menjadi kesalahan bagi mana-mana individu yang memasang atau memaparkan lambang atau emblem darjah kebesaran negeri Pahang pada mana-mana bahagian kenderaan mereka tanpa kebenaran dimana Seksyen 3(1)(d) Enakmen Lambang.

Jelas Yahaya, gelaran atau anugerah dalam enakmen tersebut (Mencegah Penggunaan Tidak wajar) Pahang 2017 mengatakan, tiada seorang pun boleh, kecuali dengan kebenaran bertulis daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan, mempamer atau melekatkan apa-apa bahan yang mengandungi apa-apa lambang, gelaran atau anugerah, atau apa-apa replika mengenainya kepada apa-apa kenderaan.

Mana-mana individu yang disabitkan bagi kedua-dua kesalahan berkenaan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM250,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“Polis menyeru kesemua pihak agar mematuhi peruntukan undang-undang berkenaan dan mana-mana individu yang telah memasang atau melekatkan apa-apa lambang atau emblem darjah kebesaran negeri Pahang pada mana-mana bahagian kenderaan mereka untuk menanggalkannya atau mendapatkan kebenaran dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Pahang,” katanya.

Terdahulu, pada 10 Julai lalu, tular iklan jualan set pingat dalam aplikasi Shoppe yang menjual barang tersebut pada harga RM600 sehingga RM1,500. – MalaysiaGazette