Gambar hiasan

TEKANAN hidup yang kian mendesak mendorong kepada pelbagai gangguan kesihatan seperti kemurungan dan depresi. Kajian daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2020 menunjukkan penyakit mental berada di tangga kedua tertinggi yang membawa kepada masalah kehilangan upaya individu. Di Malaysia sendiri, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan mendapati angka rakyat Malaysia yang dikesan mengalami masalah mental adalah seramai 3juta daripada 26 juta. Malah lebih mengejutkan lagi, daripada jumlah tersebut seramai 20 hingga 30 individu didapati membunuh diri saban tahun berikutan kegagalan menangani masalah penyakit mental.

Sejahtera dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi ke-14 didefinisikan sebagai suatu keadaan yang aman dan makmur, senang dan tenteram, serta terpelihara. Kini, kesejahteraan menjadi perkara penting untuk dicapai dalam kehidupan. Namun, kehidupan seharian yang semakin sibuk dan penuh dengan tekanan menjadi cabaran hebat bagi setiap individu untuk mencapai kesejahteraan holistik. Faktor- faktor seperti kesesakan lalulintas, kesibukan bekerja, rutin harian yang padat dan bebanan masalah menjadi hambatan bagi mencapai kesejahteraan.

Berdasarkan Rekod Negara Paling Bahagia di Dunia 2023, Malaysia berada pada tangga ke-79 daripada 146 negara yang disenaraikan. Malaysia mencatatkan skor sebanyak 5.384 pada tahun 2020 dan kekal mencatat skor yang sama pada tahun 2021. Finland merupakan negara paling bahagia dengan catatan skor 7.842 diikuti negara Denmark dan Switzerland. Manakala negara paling terakhir dalam rekod ini ialah negara Afghanistan dengan catatan skor 2.523.

Oleh itu, Malaysia perlu segera merangka pelan kesejahteraan untuk rakyat demi mencapai skor tinggi dalam rekod ini dan seterusnya menjamin kualiti kehidupan individu dalam memacu tahap kesejahteraan yang diimpikan. Justeru, mensejahterakan diri dengan terapi alam menjadi wadah bagi individu untuk dipraktikkan demi mencapai kesejahteraan diri. Dalam membicarakan isu kesihatan mental ini, sememangnya ia seakan satu perkara tabu dalam negara kita. Namun, ia tidak bermakna isu ini perlu diabaikan walhal terdapat pelbagai pendekatan yang boleh dilakukan sama ada secara langsung atau tidak langsung sebagai usaha untuk mengurangkan masalah ini selain meningkatkan kesejahteraan hidup.

Antaranya melalui pendekatan terapi alam. Jika dilihat, terapi alam merupakan terapi yang berkesan untuk mewujudkan kesejahteraan dalam diri individu. Hal ini kerana, kajian yang dijalankan oleh Jason Strauss yang merupakan Pakar Kesihatan di Fakulti Perubatan Harvard mendapati aktiviti yang dijalankan dengan alam sekitar seperti berkebun menjadi terapi kepada individu untuk mencapai ketenangan, menurunkan tekanan darah dan kadar hormon stres kortisol. Malah, dari sudut pelancongan dan psikologi manusia boleh mendapat manfaat alam denga n hanya berjalan di sekitar persekitaran semula jadi yang hijau. Kajian berkaitan manfaat taman dan rekreasi dalam pelancongan menunjukkan tubuh badan kita mampu merembeskan hormon serotonin yang berfungsi sebagai penghantar pesan (neutrotransmiter) yang berupaya membantu mood dan mencegah depresi atau atau secara ringkasnya, merangsang perasaan gembira.

Oleh itu, dalam mencapai kesejahteraan diri teknik terapi alam seperti grounding atau earthing akan memberi manfaat yang luas dan wajar dipraktikan. Grounding atau earthing merupakan teknik memijak tanah (permukaan bumi) tanpa sebarang alas seperti memakai kasut dan cuma ber’kaki ayam’. Permukaan tanah yang boleh dipijak boleh berupa kayu, batu, pasir, rumput, atau tanah liat. Berdasarkan beberapa kajian yang dijalankan, aktiviti grounding dapat meningkatkan kualiti tidur, menormalkan paras hormon kortisol, mengurangkan kesakitan, mengurangkan tekanan, mengalihkan sistem saraf autonomi daripada simpatetik kepada pengaktifan parasimpatetik, meningkatkan kepelbagaian kadar denyutan jantung, mempercepatkan proses penyembuhan luka dan mengurangkan kelikatan darah.

Hal ini adalah disebabkan proses tindakbalas badan manusia yang berlaku semasa aktiviti ini. Ketika grounding, elektron bergerak dari Bumi memasuki badan dan bertindak sebagai
antioksidan semula jadi bagi meneutralkan radikal bebas yang wujud di dalam badan yang seterusnya bertindak melindungi tisu yang sihat daripada kerosakan dan mempercepatkan proses baikpulih badan. Terapi ini adalah merupakan satu teknik yang mudah dan murah dalam mencapai ketenangan dan kesejahteraan diri. Terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan oleh individu dalam menjalankan aktiviti grounding/earthing ini. Keluarlah dan berinteraksi dengan alam sekitar. Individu boleh melakukan aktiviti seperti berjalan di persisiran pantai, mandi sungai/air terjun, berjalan di atas rumput/tanah, mengutip batu, menanam apa jua jenis tumbuhan dan banyak lagi.

Namun begitu, grounding/earthing ini bukanlah hanya melibatkan aktiviti seperti yang dinyatakan ini sahaja. Ia turut melibatkan aktivit lain yang dilakukan secara serentak termasuklah aktiviti pernafasan dalam serta melakukan aktiviti yang dapat mengaktifkan kesedaran minda. Tuntasnya, terapi alam seperti grounding/earthing ini dapat membantu individu untuk mencapai kesejahteraan diri dan seterusnya meningkatkan ketenangan apabila memperbanyakkan aktiviti yang bersifat interaksi dengan bumi. Ia seterusnya mendidik diri untuk lebih mempraktikkan penjagaan diri dengan lebih sempurna. Teknik grounding/earthing ini bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh golongan dewasa, malah ia juga dapat memberikan banyak manfaat kepada kanak-kanak. Usahlah biarkan alam sekitar yang kita miliki ini terbiar begitu sahaja. Manfaatkan pelbagai kebaikan yang boleh diperolehi daripadanya.

Oleh: Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz, Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Dr. Nurul Nadirah Abu Hasan, Pensyarah Kanan, Pengurusan dengan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Dr.Afiqah Mior Kamarulbaid, Pensyarah Kanan, Komunikasi Media Baharu, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)