KOTA BHARU – Tiga peguam sedia menawarkan khidmat nasihat guaman secara percuma kepada selebriti dakwah Pencetus Ummah (PU) Syed Mohd Bakri Syed Ishak berhubung saman fitnah difailkan penyanyi, Nor Ashima Ramli atau Baby Shima.
Pengerusi Pertubuhan Bertindak Peguam dan Intelek Kelantan (PBPIK), Nik Saiful Adli Burhan berkata, khidmat guaman dan nasihat perundangan percuma itu disediakan melalui firma guaman Tetuan Irmohizam Rosley & Nik Adli.
Selain itu, katanya, dua lagi peguam berpengalaman dalam mengendalikan kes fitnah turut menawarkan perkhidmatan sama secara percuma kepada pendakwah berkenaan.
“Mereka ialah peguam Azwan Mat Hussain dari Tetuan Rafizah Azwan & Associates di Kota Bharu dan Wan Muhammad Hafiz Wan Zawawi dari Tetuan Afifah, Wan & Aimi Shazwani di Shah Alam, Selangor,” katanya kepada media hari ini.
Semalam, selebiriti dikenali Baby Shima menerusi peguamnya, Muhammad Noor Azfar Noor Azmi bertindak menyaman pendakwah PU Syed dan Ketua Pemuda Pas Kuantan, Abd. Rahman Mat Noor berkaitan ucapan kata-kata fitnah terhadapnya.
Muhammad Noor Azfar dilaporkan berkata, pihaknya memfailkan writ saman dan penyataan tuntutan itu di Mahkamah Tinggi Malaya, Ipoh serta Mahkamah Tinggi Malaya, Kota Bharu.
Kedua-dua tindakan terhadap individu yang dinamakan difailkan di atas kausa tindakan saman fitnah (defamation) dan malicous falsehood di bawah undang-undang tort.
Menurut Nik Saiful, pihaknya akan mendapatkan pandangan semua peguam yang sudi menawarkan bantuan berkenaan jika diperlukan dan sedia membantu individu yang ditekan oleh undang-undang dalam menjalankan kerja dakwah.
“Mungkin akan ada lebih ramai PU Syed lain di luar sana yang takut menegur ke arah kebaikan sekiranya perbuatan dakwah ini menjadi suatu pelanggaran undang-undang di bawah undang-undang sivil, tort dan saya akan pastikan ianya tidak berlaku sedemikian,” katanya.
Sementara itu, peguam, Wan Muhammad Hafiz berpendapat, tidak sepatutnya perbuatan dakwah oleh mana-mana individu termasuk selebriti dijadikan kesalahan kerana ia akan mematikan semangat orang lain untuk berdakwah mengajak kebaikan.
Bagi seorang lagi peguam, Azwan Mat Hussain, beliau memandang berat isu itu apabila kenyataan PU Syed yang mulanya berniat menegur telah disalah tafsir pelbagai pihak menyebabkan tindakan sivil diambil di mahkamah terhadapnya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: