BANGKOK – Hasrat jaguh pecut sensasi negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi untuk menaiki podium Kejohanan Olahraga Asia 2023 tidak kesampaian selepas menamatkan saingan final 100 meter (m) di tempat kelima hari ini.
Pelari berusia 19 tahun yang bermula di lorong ketujuh itu, mencatatkan masa 10.25 saat (s) catatan sama dilakukan wakil Qatar Femi Aeun Ogunode yang berada di tempat keempat.
Hiroki Yanagita dari Jepun meraih pingat emas dengan catatan 10.02s yang juga catatan terbaik peribadi baharu beliau, diikuti Abdullah Abkar Mohammed (Arab Saudi) dengan catatan 10.19s untuk perak manakala Hassan Taftian (Iran) meraih gangsa dengan 10.23s.
Pada saingan separuh akhir acara riben biru itu, Muhammad Azeem yang baru pulih sepenuhnya daripada kecederaan pangkal paha kanan, melakukan catatan 10.35s untuk berada di kedudukan kedua saringan pertama.
Muhammad Azeem yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) merupakan pelari paling muda dan satu-satunya wakil Asia Tenggara berada di garisan permulaan final di Stadium Nasional Suphachalasai malam ini.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia meraih pingat dalam acara 100m adalah menerusi Watson Nyambek yang membawa pulang perak ketika kejohanan berlangsung di Fukuoka, Jepun pada 1998.
Muhammad Azeem ketika ditemui pemberita berkata menjadi satu-satunya wakil dari Asia Tenggara di garisan permulaan aksi final 100m merupakan satu pencapaian besar buat dirinya dan Malaysia.
Beliau yang akan menyertai Kejohanan Olahraga Dunia dan Sukan Asia di Hangzhou, China pada September ini bertekad akan meneruskan misi catatan 10s di kedua-dua kejohanan berkenaan.
“Ia sentiasa menjadi matlamat saya untuk melakukan catatan bawah 10s. Apa yang tidak dicapai hari ini, saya akan bawa ke kejohanan seterusnya. Saya mahu menjadi pelari pecut pertama Malaysia dan Asia Tenggara melakukan bawah 10s.
“Saya tahu saya mampu lakukannya. Saya tahu kemampuan saya. Oleh itu, saya perlu kekal fokus, bersemangat, sihat dan percaya dengan rezeki. Masanya akan tiba,” katanya.
Seorang lagi wakil negara Khairul Hafiz Jantan bagaimanapun terkandas pada separuh akhir apabila menamatkan saingan di tempat keenam dengan catatan 10.50s pada saringan kedua.
Dalam kategori wanita pula, Zaidatul Husniah Zulkifli gagal menempatkan diri dalam kelompok final apabila menamatkan saingan di tempat kelima dengan catatan 11.67s.
Sementara itu, atlet lempar cakera wanita negara Quenee Ting Kung Ni menamatkan saingan di tempat keenam selepas melakukan balingan sejauh 49.30 meter (m) dalam aksi final manakala atlet lempar cakera Nur Atiqah Sufiah Md Hanizam di tempat ketujuh dengan balingan 43.55m.
Pencapaian terbaik Malaysia di temasya Asia itu adalah pada 2007 apabila meraih dua emas menerusi Lee Hup Wei dalam acara lompat tinggi dan Roslinda Samsu (lompat bergalah wanita) dengan pingat terakhir kontinjen adalah pada 2017 menerusi jaguh lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin di Bhubaneswar, India. – BERNAMA