Mohd Ashraf Mohd. Yusof, 33, didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh Melaka, hari ini selepa mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

MELAKA – Padah menjual ubat lebih mahal daripada harga dipamerkan Januari lalu, seorang pengusaha sebuah stesen minyak didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap orang kena saman (OKS), Mohd Ashraf Mohd. Yusof, 33, selepas lelaki itu mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah

Mengikut pertuduhan, OKS didapati telah memberi gambaran yang mengelirukan mengenai harga Panadol Menstrual 10’s yang dipamerkan pada harga RM5.40 namun tertera RM7.20 pada mesin pengimbas harga.

Kesalahan itu dilakukan di kedai serbaneka sebuah stesen minyak di Lebuh Ayer Keroh, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 11.15 pagi 5 Januari lalu.

Sabit kesalahan, OKS boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau keduanya sekali mengikut Seksyen 12(1)( b) Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(1)(b) akta sama.

Terdahulu, OKS yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon denda ringan dengan alasan merupakan kesalahan pertamanya dan kesilapan tanda harga itu berpunca daripada kecuaian pekerjanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norhysam Mohd. Noor bagaimanapun memohon hukuman setimpal mengambil kira kesalahan itu melibatkan produk ubat.

Setelah mendengar hujah kedua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau sebulan penjara jika gagal bayar dan barang kes dikembalikan kepada pihak pendakwaan untuk dilupuskan.

Mohd Ashraf membayar denda tersebut. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast