Lima sekeluarga berdepan detik cemas apabila MPV dinaiki merempuh puluhan guni berisi bahan kimia plastik yang terjatuh daripada sebuah lori di Kilometer 210.6 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) awal pagi tadi.

ALOR GAJAH – Sebuah keluarga berdepan detik cemas apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka merempuh puluhan guni berisi bahan kimia plastik yang terjatuh daripada sebuah lori di Kilometer 210.6 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) awal pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Ayer Keroh, Penguasa Bomba Kanan I (KUP), Zainuddin Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian melalui talian MERS 999 pada pukul 6.59 pagi.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, sepasukan 24 anggota mendapati sebuah MPV jenis Honda Odyssey telah melanggar longgokan guni berisi bahan kimia plastik di lorong paling kanan lebuh raya.

“Bagaimanapun pasangan suami isteri dan tiga anak mereka terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan serius.

“Difahamkan, guni-guni tersebut dibawa sebuah lori sebelum dipercayai terjatuh mengakibatkan MPV berkenaan gagal mengelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Zainuddin, bahan kimia plastik itu tidak mendatangkan bahaya dan operasi mengalihkannya bahan-bahan tersebut masih berjalan sehingga pukul 11 pagi ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast