Pengasas dan pemilik Kedey Kamek, Amin Aznizan di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 12 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Sebut makanan Sarawak, pasti terlintas di minda mi kolok dan laksa Sarawak.

Apatah lagi menu itu kini mudah di dapati restoran berkonsepkan negeri Kenyalang itu di Semenanjung.

Namun jika anda ingin mencuba selera baharu iaitu linut – sejenis makanan tradisional bagi masyarakat tempatan di Sarawak terutamanya kaum Melanau malah menjadi sajian utama selepas nasi.

Suatu ketika dulu ia dihidangkan sebagai menu harian dan hidangan wajib semasa hari-hari istimewa seperti hari keramaian kaum berkenaan malah hidangan itu juga menjadi santapan utama sekiranya ada jiran-jiran yang bertandang ke rumah.

Hidangan yang diperbuat daripada pokok rumbia itu amat terkenal di Sabah dan Brunei. Makanan yang juga dikenali ambuyat sebenarnya amat mudah untuk disediakan. Hanya memerlukan tepung sagu dah air panas.

Antara menu yang ada di Kedey Kamek,di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 12 JULAI 2023.

Namun hakikatnya ia perlu dimasak dengan menggunakan suhu air yang betul untuk memastikan adunan yang dihasilkan lekit dengan betul sebelum sedia dimakan.

Kebiasaannya linut dimakan menggunakan sejenis kayu penyepit yang dikenali sebagai candas untuk memudahkan menikmatinya.

Jika anda ingin mencuba linut itu, apa kata berkunjung ke Kedey Kamek yang terletak di Tingkat 1, Sunway Putra Mall.

Apa yang menarik di sini, cara menikmat linut telah dimodenkan apabila dimakan bersama ikan terubuk masin goreng dan sambal belacan.

Bagi pemilik restoran berkonsepkan menu Sarawak itu, Amin Aznizan, beliau mahu berkongsi rasa negeri kelahirannya itu dengan masyarakat luar yang memiliki pelbagai budaya yang unik.

Beliau yang berusia 34 tahun berkata, rasa cintanya terhadap makanan Sarawak menerusi Kedey Kamek diterjemahkan bagi memperkenalkan budaya dan makanan Sarawak ke mata dunia.

Antara menu yang ada di Kedey Kamek,di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 12 JULAI 2023.

Jelasnya, menjadi satu kebanggaan kepadanya dapat memberikan ‘kasih sayang’ dari hati rakyat bumi Kenyalang kepada mereka yang menikmati hidangan di restoran itu.

“Budaya orang Malaysia memang terkenal dengan makanan dan inilah cara terbaik untuk saya perkenalkan makanan tradisonal Sarawak dan cara kami melayan tetamu.

“Di Sarawak, kami sentiasa berikan khidmat terbaik kepada tetamu malah memberi lebih daripada apa yang kami ada.

“Saya selalu berpesan kepada kakitangan sesiapa yang masuk ke kedai bukan pelanggan, namun mereka umpama keluarga dan kawan-kawan. Jadi bagaimana kita layan keluarga di rumah dan layanan yang diberikan di Kedey Kamek,” katanya ketika ditemubual MalaysiaGazette di sini.

Berkongsi pengalaman awal membuka cawangan pertama di Kuching pada 2016, kata Amin, dia hanya bermodalkan RM10,000.

Ini kerana dia menggunakan segala tenaga dan sumber yang ada untuk memulakan operasi termasuk dirinya yang menjadi pekerja yang perlu mebuat semua tugas.

“Hari pertama kedai dibuka, sambutannya sangat menggalakkan di mana kami sibuk dari pagi hingga tutup kedai. Waktu itu, sayalah yang sibuk di dapur, jaga kaunter bayaran dan ambil pesanan.

“Malah saya juga saya memilih lokasi kedai yang tidak strategik kerana harga sewanya agak murah di mana proses ubai suai juga terhad mengikut bajet bersesuaian.

“Namun kedai di Kuching telah ditutup April lalu kerana mahu berikan fokus Kedey Kamek di Kuala Lumpur yang kini memiliki tiga cawangan,” katanya.

Sementara itu, Amin mengakui dia memilih figura tokoh Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem untuk diabadikan gambar sebagai dekorasi di Kedey Kamek.

Katanya, perjuangan tokoh yang dikenali sebagai Tok Nan untuk negerinya cukup besar dan melekat di jiwanya.

“Saya melihat Tok Nan sebagai ikon Sarawak kerana perjuangannya demi negeri Sarawak dan menjadi faktor utama kenapa saya buka Kedey Kamek, demi Sarawak.

“Walaupun selepas dia meninggal dunia, kata-kata keramat yang ditinggalkan ‘Jagalah Sarawak’ memberi kesan yang mendalam kepada saya,” katanya menutup perbualan.

Ketika ini, selain Sunway Putra Mall, Kedey Kamek mempunyai dua lagi cawangan di Lembah Klang antaranya Taman Tun Dr Ismail dan Lalaport. – MalaysiaGazette

Pengasas dan pemilik Kedey Kamek, Amin Aznizan di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 12 JULAI 2023.