Jafni (tengah) memberitahu penggunaan teknologi itu akan dimulakan oleh empat PBT di bandar raya Johor Bahru terlebih dahulu.

JOHOR BAHRU – Penguat kuasa  pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertugas di lapangan bakal dilengkapi penggunaan kamera badan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, penggunaan teknologi itu akan dimulakan oleh empat PBT di bandar raya Johor Bahru.

“Kita akan buat bengkel bagi tujuan penyelarasan prosedur operasi standard (SOP) terlebih dahulu dengan melibatkan 16 PBT di Johor. Selepas itu, kita akan adakan pelancaran kecil bagi inisiatif ini pada Oktober depan.

“Kemudian, penggunaan teknologi ini akan dipelopori oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP). Penggunaan kamera badan itu akan turut membantu PBT membuktikan pesalah-pesalah yang membuang sampah secara merata-rata termasuk di kawasan sungai,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Mohd Jafni berkata, penggunaan teknologi kamera badan membantu penguat kuasa di lapangan untuk menjalankan tugas dengan telus.

“Akan datang, kita (penguat kuasa) tidak perlu merakam menggunakan telefon bimbit lagi sebaliknya kamera badan itu akan mempunyai pautan yang pintar (sistemnya sendiri).

“Sebab sebelum ini, pesalah tidak mengaku apabila dituduh membuat pembuangan sampah, namun selepas ini mereka tidak boleh lagi menafikan kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Kesemua 16 PBT di negeri ini juga akan menguatkuasakan tindakan kompaun serta-merta kepada pesalah yang membuang sampah di kawasan awam.

“Bagi kesalahan individu, mereka boleh dikenakan kompaun antara RM50 hingga RM250 manakala bagi syarikat sebanyak RM2,000.

“Pemberian kompaun dibuat secara on the spot demi memperkasa kebersihan awam termasuk di sungai-sungai,” katanya.- MalaysiaGazette