Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR – Tarif baharu bagi Program Tarif Elektrik Hijau atau Green Electricity Tariff (GET) ditetapkan pada kadar 21.8 sen/kWj bermula 1 Ogos ini.

Manakala kadar tarif premium GET sedia ada iaitu 3.7sen/kWj dikekalkan bermula 1 hingga 31 Julai 2023.

Menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklam, Nik Nazmi Nik Ahmad, ketetapan baru itu dibuat selepas mempertimbangkan sambutan menggalakkan dan pengiktirafan antarabangsa terhadap program berkenaan.

“Pengguna yang melanggan Program GET tidak akan dikenakan caj Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) kerana penjanaan daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) tidak melibatkan penggunaan bahan api fosil,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam masa yang sama, had kuota 30 peratus langganan GET dimansuhkan dan pelanggan boleh melanggan sehingga dan tidak melebihi 100 peratus keperluan tenaga.

Nik Nazmi berkata, hasil kutipan daripada pelaksanaan program tersebut akan digunakan untuk pembangunan dan peningkatan kapasiti baharu TBB dalam sistem pembekalan elektrik negara.

“Dengan ketetapan ini, kerajaan berharap agar pengguna akan mempunyai keyakinan yang lebih tinggi terhadap Program GET.

“Ini kerana proses penawaran dan kendalian program ini telah dilakukan berasaskan prinsip sistem penjanaan dan pembekalan elektrik hijau, serta langganan GET turut memberikan nilai tambah dalam menyokong usaha peralihan tenaga negara melalui pembangunan dan peningkatan kapasiti baharu TBB dalam pembekalan elektrik negara,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, pengguna sedia ada diberi tempoh sehingga 31 Julai 2023 untuk mengesahkan semula langganan.

“Pengguna yang tidak memberikan sebarang pemakluman akan ditamatkan langganan secara automatik. Penawaran semula kuota GET daripada pengguna yang tidak memperbaharui langganan akan dilakukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui laman sesawangnya kepada mana-mana pengguna yang berminat,” jelasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast