SHAH ALAM – Kenaikan kos sara hidup, ketidaktentuan ekonomi dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak lima kali sejak 2022 didakwa berpunca daripada kepimpinan negara yang tidak mempunyai hala tuju.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih tidak dapat memberikan penyelesaian terhadap masalah yang dideritai rakyat.
“Kita masih berada dalam tempoh getir pembinaan semula negara dengan cabaran keadaan politik yang masih tidak menentu.
“Situasi yang kita hadapi ini, ditambah dengan kepimpinan politik negara disifatkan sebagai kakistokrasi, memberi akibat negatif kepada aspek sosial dan ekonomi negara.
“Malah saban hari kelihatan semakin bercanggah di antara sesama mereka,” katanya berucap semasa merasmikan Konvensyen Profesional 2.0 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) hari ini.
Tambah Muhyiddin, pelbagai masalah yang membebani rakyat ketika ini juga berpunca akibat tiadanya agenda ekonomi dan pembangunan negara yang jelas dan meyakinkan.
“Pandemik Covid-19 telah mengakibatkan gangguan kepada perniagaan, kehilangan pekerjaan dan mengurangkan pendapatan merentas sektor yang berbeza.
“Golongan profesional muda masih bergelut mencari pekerjaan stabil manakala yang berniaga, menghadapi kesukaran untuk mengekalkan perniagaan.
“Landskap ekonomi yang tidak menentu jelas menjadi cabaran dalam merancang strategi yang mampan untuk menstabilkan ekonomi dan kewangan negara,” katanya.
Katanya, berdasarkan statistik terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kadar pengangguran menurun 0.4 peratus pada Mei 2023 kepada 584,600 orang namun realitinya lebih setengah juta masih menganggur.
“Ramai profesional muda bergelut untuk mencari jawatan sesuai dengan kelayakan dan aspirasi kerjaya mereka.
“Kos sara hidup, termasuk perumahan, pengangkutan dan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat, menyukarkan rakyat untuk menjimatkan wang, mahu pun melabur dalam kerjaya atau merancang masa depan mereka.
“Peningkatan kes rumah dilelong juga menggambarkan ramai peminjam tidak mampu meneruskan ansuran bulanan mereka akibat kenaikan OPR,” katanya lagi. – MalaysiaGazette