Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan (tiga, kanan) dan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias (dua, kanan) menghadiri perjumpaan dengan jentera pilihan raya pada Majlis Penyerahan Anak Angkat Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah. Hadir sama, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan (tiga, kiri)

KUALA PILAH – Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan akan bertanding di 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri bulan depan, kata Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya BN berkata kerusi itu adalah 16 DUN dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan satu lagi kerusi di DUN Lenggeng yang disandang oleh Suhaimi Kassim daripada Parti Amanah Negara (Amanah).

“Di atas kertas BN bertanding 16 kerusi DUN, tetapi telah dipersetujui Pengerusi Majlis Presiden Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Anwar Ibrahim (yang) telah membuat keputusan kerusi DUN Lenggeng diberikan kepada BN.

“Tiada dakwa lagi, itu sebabnya saya katakan bahawa keputusan Majlis Presiden itu muktamad. Siapa nak cakap apa, cakaplah melainkan jika ada orang cuba menelan semula dia punya janji,” katanya ketika berucap pada Majlis Bahagian Angkat Pilihan Raya Negeri Sembilan di Kompleks Rakan Muda di sini hari ini.

Mohamad yakin BN mampu memenangi kesemua kerusi ditandingi nanti dengan persiapan jentera yang lancar dan dibantu jentera parti dari Johor dan Melaka pada pilihan raya kali ini.

Beliau menyarankan semua jentera parti agar mengenal pasti ‘DNA’ lokaliti pengundi di semua pusat daerah mengundi (PDM) bagi mengukuhkan gerak kerja dalam memastikan kemenangan BN pada pilihan raya kali ini.

Media semalam melaporkan Amanah Negeri Sembilan mengumumkan kekal bertanding di tiga kerusi DUN pada PRN kali ini iaitu di DUN Klawang, Lenggeng dan Paroi.

Pada PRU14, Negeri Sembilan yang memiliki 36 kerusi DUN, menyaksikan Pakatan Harapan (PH) dipimpin Datuk Seri Aminuddin Harun menguasai 20 kerusi iaitu DAP dengan 11 kerusi, PKR (enam) dan Amanah (tiga).

BN pula memenangi 16 kerusi iaitu UMNO (15) dan MIC satu kerusi.- BERNAMA

1 Komen

  1. Negeri SEMBILAN BN menang 16 kerusi DUN PRU 14 dan ditambah 1 kerusi.. ingat jadi 26… sebab DUN ADA 36.. buat kira.. congak.. eh.. buatnya PN dapat 20 SEBAB CALON UMNO dimarahi rakyat… DAP jangan cakap UMNO SUWEY ya… sebab UMNO tetap kawan bawa MATI maaa… SELANGOR rakyat disana terang-terang marah UMNO… NEGERI SEMBILAN??? Tok Mat Hasan harus draf surat untuk ZAHID HAMIDI awal-awal supaya dia tidak MC … SAYONARA GOODBYE ZAHID HAMIDI

Comments are closed.