Kevy (kiri) dan Abdul Malik menunjukkan kegagalan rawatan kecantikan membuang lemak di perut yang dilakukan 'doktor' haram tanpa tauliah daripada pihak berkuasa.

MELAKA – Hampir separuh daripada 358 aduan di terima pengguna melibatkan isu rawatan kecantikan dilakukan ‘doktor’ haram tanpa tauliah di seluruh negara sepanjang tahun lalu.

Timbalan Presiden Kebangsaan Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Abdul Malik Jamaran berkata, daripada 161 kes atau 45 peratus kegagalan rawatan itu terdapat juga pembedahan yang akhirnya menyebabkan kematian.

Menurutnya, kebanyakan mangsa berusia antara 25 hingga 60 tahun terpengaruh dengan tawaran menarik rawatan kosmetik itu kerana harga yang jauh lebih murah berbanding khidmat doktor pakar bertauliah.

“Mereka terpengaruh apabila melihat harga iklan rawatan kosmetik seperti suntikan vitamin C, liposuction atau bariatric atau pembedahan hidung kerana kosnya 50 peratus lebih murah dari pasaran.

“Malangnya, ‘doktor’ yang melakukan rawatan itu hanya mengikuti kursus tiga atau enam bulan di luar negara dan langsung tiada tauliah melakukan pembedahan sekaligus membahayakan nyawa pelanggannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Pejabat MTPN Melaka di Taman Kota Laksamana Jaya di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden Kebangsaan MTPN, Datuk Dr Kevy KV Yeo dan Yang Dipertua MTPN Melaka, Aalex Kong Sin Fatt.

Mengulas lanjut, Abdul Malik berkata, terdapat satu kes, mangsa rawatan meninggal dunia selepas mengalami kesan sampingan akibat pembedahan membuang lemak di perut.

“Selain kes-kes rawatan kosmetik dibuat di premis tanpa lesen ada juga ‘doktor-doktor’ haram ini menawarkan khidmat secara bergerak dari rumah ke rumah bagi mengelakkan kegiatan dihidu pihak berkuasa.

“Sebab itu MTPN menasihati pengguna supaya tidak terpedaya dengan hasil rawatan dijanjikan pada harga yang murah sedangkan mereka sebenarnya membahayakan nyawa,” katanya.

Tambahnya, setiap aduan daripada pengguna yang diterima MTPN tidak akan dikenakan sebarang bayaran sebaliknya mereka hanya menjadi orang tengah untuk memudahkan urusan mendapat pembelaan di saluran yang sah.

Menurutnya, badan bukan kerajaan (NGO) itu akan bekerjasama dengan pihak berkuasa termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dan Polis Diraja Malaysia. – MalaysiaGazette