Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa di negara ini.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa di negara ini.

Pada masa yang sama, sindiket berkenaan dipercayai turut menyogok penguat kuasa serta terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Kata SPRM, sindiket itu ditumpaskan menerusi serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM menerusi Op Jaguar di sebuah premis di Klang dan di Kuala Lumpur semalam.

“Operasi ini dijalankan hasil maklumat yang diterima SPRM daripada agensi penguat kuasa dari Amerika Syarikat serta maklumat hasil risikan di United Kingdom dan Hong Kong.

Tenggeling seberat dua tan yang dirampas dari sindiket penyeludupan antarabangsa oleh SPRM semalam.

“Menerusi serbuan di Klang, SPRM merampas hampir dua tan sisik haiwan itu yang bernilai kira-kira RM23.4 juta,'” kata satu kenyataan SPRM hari ini.

Dalam operasi di Kuala Lumpur, SPRM juga berjaya membuat rampasan beberapa kenderaan mewah yang disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa tersebut.

Susulan operasi yang sama, SPRM telah berjaya menahan seramai tujuh individu berusia antara 30 hingga 59 tahun yang membabitkan warganegara Malaysia, Bangladesh, Pakistan dan Nepal.

Siasatan sedang dijalankan ke atas kesemua suspek mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast