KUANTAN – Kejayaan eksesais Jungle Falcon yang membabitkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan United Arab Emirates Land Forces (UAELF) merealisasikan persefahaman ketenteraan di antara Malaysia dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’Ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah , latihan ini adalah bukti hubungan persaudaraan terus kukuh di antara Malaysia dan UAE.
“Beta berharap eksesais ini berupaya membuka ruang kepada TDM untuk berkongsi kemahiran, pengalaman dan pengetahuan bersama dengan UAELF, terutamanya dalam suasana iklim tropika di negara ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian dalam Majlis Perasmian Penutup Eksesais Jungle Falcon di Felda Sungai Panching Selatan, yang anjurkan 4 Briged (MEKANIZE), di sini, hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.
Turut hadir, Komander UAELF, Mejar Jeneral Saeed Rashid Al Shehhi dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang serta Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Menurut baginda, persaudaraan di antara UAE dan Malaysia turut dizahirkan menerusi bantuan empat unit dron bagi tujuan pemantauan di Lahad Datu, Sabah ekoran peristiwa pada 2013 lalu.
Justeru, baginda dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada kerjasama tidak berbelah bahagi daripada Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.
“Saya juga begitu bangga dengan pencapaian eksesais ini dan terima kasih kepada 4 Briget (penganjur).
“Inilah kali pertama saya dengan secara mata sendiri dapat melihat berapa banyak aset-aset dalam Briget Mekanize ini telah menunjukkan keupayaan sebenarnya pada hari ini. Syabas dan berikan tepukan gemuruh kepada semua,” kata baginda.
Dalam majlis tersebut, Al-Sultan Abdullah menyaksikan demonstrasi peperangan oleh TDM dan UAELF berkenaan strategi menawan musuh dengan menggunakan aset ketenteraan milik TDM membabitkan seramai 721 anggota dan pegawai kedua-dua angkatan.
Baginda selepas itu berkenaan beramah mesra dengan semua pegawai dan anggota TDM serta UAELF yang terlibat dalam eksesais terbabit.
Eksesais Jungle Falcon adalah salah satu kejayaan TDM dalam merealisasikan persefahaman ketenteraan yang telah dipersetujui pucuk pimpinan TDM bersama UAELF di Abu Dhabi, pada 31 Oktober tahun lalu.
Malah, eksesais ini juga berupaya membuka ruang kepada TDM untuk berkongsi kemahiran, pengalaman dan pengetahuan bersama dengan rakan strategik ketenteraan UAELF dalam aspek peperangan secara konvensional. – MalaysiaGazette