KEPALA BATAS – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kepakaran kemahiran anak muda keluaran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) mampu menarik minat dan keyakinan pelabur berteknologi tinggi untuk melabur di negara ini.
Jelas beliau, ia terbukti apabila pertemuan rundingan maya bersama peneraju kenderaan elektrik Tesla, jutawan Elon Musk serta pengurusannya memberi maklum balas anak Malaysia bukan saja berdisiplin malah mempunyai kepakaran termasuk mahir dalam penguasaan pelbagai bahasa yang disifatkan sebagai satu kekuatan.
“Bukan saja itu, Geely syarikat dari China yang melabur dalam Proton turut memberi maklum balas yang sama di mana mereka bangga dengan kehandalan serta kemahiran anak kita berbanding dengan puluhan negara lain yang telah bekerjasama.
“Bagaimanapun, kesemua pelabur itu turut meminta kita meningkatkan lagi penguasaan untuk memantapkan industri bidang kemahiran.
“Saya percaya peningkatan negara dalam bidang TVET bukan saja mampu menarik pelabur malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan sebagai contoh Tesla bercadang nak buka ibu pejabat di Cyberjaya, Selangor; syarikat minyak dari Arab Saudi iaitu Aramco mahu perluaskan pelaburan minyak serta gas di Johor,” katanya ketika berucap pada Program Sesi Bual Bicara Komuniti TVET di Bertam di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Tambah Anwar, kerajaan ketika ini mensasarkan lulusan TVET mampu menerima gaji mencecah antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan.
“Kalau kita mulakan usaha mempertingkatkan dan memperkasakan jurusan TVET ini termasuk meningkatkan gaji yang sepatutnya diterima mereka, maka saya fikir minat generasi muda untuk menyertai TVET akan meningkat dengan sendirinya.
“Sebab itu, kerajaan ingin memperkasakan TVET dengan memperuntukkan RM6.8 bilion setahun yang ia bukan perbelanjaan kecil,” katanya. – MalaysiaGazette