KEPALA BATAS – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada sebab untuk penduduk Pulau Pinang menukar kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) pada 12 Ogos nanti.
Menurutnya, Pulau Pinang di bawah pentadbiran Chow Kon Yeow telah merekodkan kemajian pesat, sekali gus berupaya menjalinkan kerjasama baik dengan Kerajaan Pusat.
“Kalau Kon Yeow bekerja dengan baik, tidak ada cerita sakau, tidak ada cerita zalim dan menindas jadi bagilah sokongan kepada beliau.
“Bukan saja itu, pelaburan yang tinggi serta industrinya (kilang) juga memberi peluang pekerjaan kepada ramai orang termasuk penduduk Kedah yang mai sini (Pulau Pinang) untuk bekerja kerana sini lebih maju,” katanya pada Program Sesi Bual Bicara Komuniti TVET di Bertam di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. – MalaysiaGazette