Penduduk menunjukkan laporan polis atas dakwaan Pejabat Tanah dan Galian dan MPS meminggir hak penduduk Taman Selayag Indah di bu Pejabat Polis Daerah Gombak, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 16 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Penduduk Taman Selayang Indah, Gombak, kesal dengan tindakan Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang didakwa meminggirkan hak mereka.

Jabatan terbabit dikatakan tidak mengendahkan bagaimana laman rekreasi komuniti di situ dipajakkan kepada seorang penduduk di kawasan sama.

Menurut S. Balachandran, 78, penghuni kira-kira 100 buah rumah di taman perumahan itu tidak lagi boleh beriadah di tanah lapang kerana ia sudah dipagar selain dijadikan kawasan penternakan dan restoran.

Penduduk, S. Balachandran selepas membuat laporan polis atas dakwaan Pejabat Tanah dan Galian dan MPS meminggir hak penduduk Taman Selayag Indah di bu Pejabat Polis Daerah Gombak, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 16 JULAI 2023.

Tambahnya, mereka sebagai pemegang taruh tidak pernah dilibatkan dalam urusan pemajakan tanah itu.

“Kita tidak tahu macam mana individu itu boleh dapat pajakan, macam mana pihak-pihak yang berurusan tidak mendapatkan persetujuan atau kebenaran penduduk.

“Tidak ada satu pegawai atau jabatan pun yang mengambil tanggungjawab untuk menjawab soalan kita. Jawapan penguatkuasa cuma ini mengikut peraturan dan diluluskan, tetapi tidak panggil kita (untuk berbincang).

Antara haiwan dipelihara individu yang mendapat pajakan Laman Komuniti Taman Selayang Indah, di Gombak.

“Tanah lapang ini kita dah guna selama 33 tahun untuk komuniti menjalankan aktiviti beriadah termasuk kenduri dan majlis perkahwinan. Tapi dia dah pagarkan dan guna tanah itu untuk pelihara haiwan serta kedai makan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, hari ini.

Sementara itu Liew Chon Hoy, 70, berkata, penduduk terpaksa berhadapan kesesakan lalu lintas berikutan orang ramai ke restoran milik individu itu selain pencemaran bau.

“Pagi-pagi orang datang makan, jalan sesak macam mana kita nak keluar masuk. Tak ada taman komuniti dalam negara ini yang dijadikan restoran, pelihara ayam dan itik.

“Kita tak setuju, kita marah sangat dengan (pembinaan) kantin, dan (reban) ayam dan itik ini. Minyak-minyak juga disalurkan ke longkang yang jaraknya enam meter sahaja dari rumah, 24 jam berbau sampai ke dalam kediaman,” katanya.

Situasi longkang perumahan yang terjejas selepas pembukaan restoran di Laman Komuniti Taman Selayang Indah, Gombak.

Bagaimanapun, menurut beliau, MPS yang menjalankan pemantauan di situ hanya memaklumkan tiada sebarang pencemaran berlaku di kawasan itu, tidak seperti yang diadu.

Balachandran berkata, laporan yang dibuat hari ini merupakan jalan terakhir selepas tiada tindakan lanjut daripada pihak berkenaan tentang pemajakan tanah selama 21 tahun yang dimeterai pada 12 November 2020.

Berikutan itu, penduduk Taman Selayang Indah menggesa polis menyiasat MPS dan PTGS yang didakwa melepas tangan dalam isu pemajakan tanah dan permasalahan dihadapi mereka. – MalaysiaGazette