Baddrol Bakhtiar (tengah). Foto Facebook Sabah FC.

KUALA LUMPUR – Bekas tonggak Sabah FC, Baddrol Bakhtiar terus menimbulkan teka-teki mengenai hala tuju selepas perlawanan terakhirnya bersama pasukan Sang Badak semalam.

Beliau bagaimanapun menafikan akan berhenti daripada bermain bola sepak sebaliknya berkata, perlawanan bersama Sabah FC bukan penamat kariernya.

Khabar angin mengatakan Baddrol mungkin bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah bulan depan selepas dipilih sebagai calon mewakili Perikatan Nasional (PN).

Ini selepas spekulasi itu timbul sejurus Sabah FC mengeluarkan kenyataan mengenai pengunduran Baddrol daripada pasukan berkenaan kelmarin.

Kata pemain tengah berusia 35 tahun itu, beliau tetap akan bermain bola sepak namun perlu melaksanakan satu misi yang belum dapat didedahkan pada masa ini.

“Pada malam ini bukan perlawanan terakhir saya dalam karier bola sepak. Saya tetap akan bermain selepas ini tetapi saya ada satu misi yang saya ingin lunaskan.

“Jadi, saya mengharapkan penyokong Sabah FC mendoakan kejayaan saya selepas ni,” katanya pada sidang media selepas Sabah FC menewaskan Sri Pahang FC 4 – 0 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas.

Baddrol yang merupakan bekas pemain Kedah berkata, beliau atau pihak pengurusannya akan memaklumkan dalam masa terdekat hala tujunya selepas perlawanan malam ini.

“Mungkin dalam masa terdekat saya atau pun pihak pengurusan akan mengumumkan ke mana arah tuju selepas perlawanan malam ini,” katanya.

Mengulas lanjut, selama dua tahun di Sabah, Baddrol berkata, beliau menimba pengalaman yang sukar untuk digambarkan.

Beliau juga terharu melihat pelbagai kaum dan dikelilingi sahabat serta rakan dan pemain yang baik sepanjang berada di negeri ini.”Saya perlu berterima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, dan jurulatih yang banyak membentuk pasukan ini.

“Jadi saya mengharapkan perjuangan skuad Sabah FC dapat diteruskan lagi ke tahap lebih tinggi membawa nama Sabah FC ke tahap yang begitu gah lagi dan saya mendoakan kejayaan di AFC nanti,” katanya.

Sementara itu, CEO Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir, berkata pihak pengurusan dan peminat Sabah FC mengucapkan terima kasih atas khidmat bakti Baddrol selama kira-kira dua tahun berada di Sabah. – MalaysiaGazette