Home Nasional Beg pakaian disangka berisi bom di Nilai

Beg pakaian disangka berisi bom di Nilai

KUALA LUMPUR – Situasi mencemaskan berlaku apabila satu beg mencurigakan yang dikatakan mempunyai bom dan ditinggalkan di hadapan premis perniagaan di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superitendan Mat Ghani Lateh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar pukul 1 tengah hari daripada seorang wanita berhubung penemuaan bagasi tersebut.

Susulan itu, anggota yang bertugas telah diarah ke lokasi kejadian bagi melakukan siasatan.

“Pasukan Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dipanggil untuk membantu siasatan di tempat kejadian.

“Hasil pemeriksaan mendapati di dalam beg yang ditinggalkan hanya mengandungi pakaian dan tiada penemuaan sebarang bom.

“Bagaimananpun, beg yang ditinggalkan telah dimusnahkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mat Ghani, bagasi itu dipercayai tertinggal kerana tempat kejadian merupakan pusat transit bas ekpres bagi kawasan Nilai.

“Sehubungan itu, pihak polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang mendatangkan kegusaran,” jelasnya. – MalaysiaGazette