KUANTAN – Seorang ibu tidak dapat menyembunyikan kekecewaan terhadap sebuah klinik kesihatan di Bentong yang didakwa gagal mengesan tanda awal masalah anaknya yang meninggal dunia hari ini.
Dalam hantaran di laman Facebook, Erma Iswani berkata, dia hadir ke klinik kesihatan tersebut pukul 11.30 pagi pada 12 Julai lalu membawa anaknya yang berusia dua tahun enam bulan untuk diperiksa.
“Anak saya telah mengalami cirit birit dari tengah malam hingga ke pagi sebanyak 21 kali. Saya juga turut memberitahu doktor bahawa anak saya tidak aktif seperti kebiasaan dan doktor sedia maklum mengetahui anak saya seorang OKU (orang kelainan upaya) yang mempunyai masalah GDD (Global Developmental Delay),” tulisnya.
Namun petugas kesihatan di klinik terbabit, dakwanya, hanya memberi preskripsi tiga peket ubat air garam bagi menyembuhkan kemungkinan keracunan makanan setelah memeriksa kulit, perut dan suhu badan bayinya.
“Saya rasa agak risau kerana mata (anak) dah mula kelihatan tenggelam dan sedikit kecewa kerana saya mengharapkan (doktor) beri arahan untuk refer ke hospital atau pun darah diambil tetapi tiada.
“Saya juga lihat kaki anak kemerahan berbintik sambil berfikir, takkan la doktor tu tak nampak kaki anak aku,” katanya.
Bimbang melihat keadaan anak yang kelihatan sangat berbeza daripada biasa, Erma mendapatkan pandangan kedua di sebuah klinik swasta berhampiran.
Menurut Erma, berbeza dengan pemeriksaan di klinik kesihatan itu, doktor di klinik swasta terbabit menyarankan agar pihak klinik menguji darah anaknya bagi sebarang jangkitan virus.
Namun alangkah terkejutnya dia apabila doktor memberitahu bacaan darah putih anaknya terlalu tinggi dan meminta mereka terus ke Hospital Bentong.
“Dalam pukul 3 petang, saya bawak anak saya ke Wad Kecemasan Hospital Bentong dalam keadaan sudah lembik dan tidak sedarkan diri. Hancur hati saya mengusung anak dalam keadaan macam itu,” luahnya.
Erma memberitahu, anaknya terpaksa ditidurkan kerana keadaannya sangat kritikal dan pada hari sama juga dihantar ke Unit Rawatan Intensif Neonatal (NICU) di Hospital Temerloh untuk menerima rawatan.
Pada 14 Julai lalu, dia kembali ke klinik kesihatan yang sama untuk mendapatkan penjelasan doktor yang tidak dapat mengesan masalah kesihatan anaknya dalam pemeriksaan sebelum ini.
“Saya sangat terkilan bila dia jawab bahawa prosedur klinik kerajaan berdasarkan keadaan anak ketika itu tidak memerlukan darahnya untuk diambil.
“Kalau benarlah itu prosedur klinik kesihatan kerajaan sekarang, saya sangat hampa,” luahnya lagi.
Dalam tulisannya, Erma memberitahu, anak keduanya itu telah meninggal dunia pada pukul 9.34 pagi tadi.
Sehingga berita ini ditulis, perkongsian Erma Iswani telah dikongsi semula oleh 2,338 pengguna Facebok dan MalaysiaGazette masih belum menerima maklumbalas daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang untuk kenyataan lanjut.- MalaysiaGazette