PERMATANG PAUH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan kekuatan akar umbi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mampu menempa kemenangan buat Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) di enam negeri.
Beliau yang juga Pengerusi PH menegaskan tiada pihak yang mampu mengoyahkan kedudukan Kerajaan Perpaduan sekiranya dua parti gergasi itu mengerah seluruh jentera parti.
“Ini pesan saya, UMNO ada pangkalan di kampung-kampung, DAP ada pangkalan di bandar manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) campur-campur sikit.
“Apabila PH dan BN ada strategi yang ampuh maka percayalah tiada siapa yang boleh goyangkan kedudukan kita.
“Syaratnya kita kena kerah seluruh akar umbi dalam parti untuk menghadapi PRN pada 12 Ogos nanti,” katanya ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Pulau Pinang di Tapak Ekspo Seberang Jaya di sini, malam tadi.
Tambah Anwar, gabungan PH-BN bukan untuk mengekalkan kuasa sebaliknya bersandarkan pada prinsip menyelamatkan dan menjaga tatakelola baharu negara.
Katanya, menerusi gabungan sama beliau yakin Pulau Pinang akan menempah sejarah dukungan rakyat yang luar biasa kepada Kerajaan Perpaduan.
“InsyaAllah, ini kali pertama dalam sejarah PH memerintah dan BN sebagai pembangkang yang kuat di Pulau Pinang sekarang bergabung.
“Ramai kata susah nak bergabung tapi bila sebut mahu prinsip untuk selamatkan negara, jaga tatakelola baharu dalam negara dengan menghentikan amalan semua setuju dan ini secara langsung membuktikan bukan untuk mempertahankan kuasa,” katanya. – MalaysiaGazette
ANWAR IBRAHIM sedang berhalusinasi