BUKIT MERTAJAM – Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa komited dalam menyediakan kemudahan dan infrastruktur fasiliti kesihatan di Pulau Pinang.
Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, KKM dan Jabatan Kerja Raya (JKR) kini sedang menyiapkan dua lagi klinik kesihatan iaitu di Air Putih, Balik Pulau dan Bandar Tasek Mutiara yang menelan kos RM60 juta.
Kata beliau, selain itu, Projek Pembinaan Klinik Kesihatan dan Kuarters Integrasi di Mak Mandin di sini juga telah diluluskan sebagai projek baharu di bawah Belanjawan 2023 dengan kos sebanyak RM54 juta.
“Pelaksanaan projek-projek ini jelas menunjukkan kesungguhan Kerajaan Madani dalam menyediakan kemudahan kesihatan awam di semua daerah di seluruh negeri Pulau Pinang.
“Usaha ini akan dapat mempertingkatkan perkhidmatan di peringkat ‘primary healthcare’ dan seterusnya membantu mengurangkan kesesakan di hospital-hospital kerana rawatan awal dan ringan dapat dibuat di klinik-klinik kesihatan terlebih dahulu,” katanya selepas merasmikan Klinik Kesihatan Bandar Perda di sini, hari ini.
Klinik Kesihatan Bandar Perda ini siap pada September 2021 dan beroperasi awal tahun lalu dengan purata kedatangan seramai 500 pesakit sehari.
Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk Pesakit Luar, Klinik Kesihatan Ibu dan Anak, Klinik Pakar Pergigian, Unit Kecemasan, Unit Radiologi dan Unit Rehabilitasi.
Pada majlis sama, Zaliha juga telah meluluskan peruntukan tambahan RM150,000 untuk klinik ini bagi kerja-kerja naik taraf dan pembaikan serta pembelian perlatan perubatan dan bukan perubatan. – MalaysiaGazette