KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan didakwa esok di Mahkamah Sesyen Selayang pagi esok.
MalaysiaGazette difahamkan, Muhammad Sanusi didakwa berhubung kenyataan mempertikaikan instituisi raja baru-baru ini namun perkara itu tidak dapat disahkan lagi.
Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dikatakan telah mengeluarkan kenyataan berkaitan perkenan Sultan Selangor dalam pelantikan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari baru-baru ini.
Dalam carian laman sesawang mahkamah, pendakwaan itu difahamkan akan dibuat di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Nor Rajiah Mat Zin.
Difahamkan Muhammad Sanusi kini berada di Lembah Klang.
Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, isu Menteri Besar Kedah itu yang didakwa menghina baginda belum selesai.
Kenyataan tersebut keluar selepas Sultan Sharafuddin Idris berkenan menerima menghadap Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, hari ini.
Sebelum ini juga Ahli Dewan Diraja Selangor menuntut Muhammad Sanusi agar segera membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung isu mengeluarkan kenyataan yang didakwa memperlekeh Sultan Selangor berhubung pelantikan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai menteri besar.
Muhammad Sanusi dalam satu siri ceramah anjuran PN didakwa mengeluarkan kenyataan yang kononnya menghina Sultan Selangor beberapa hari lepas dan turut meremehkan pelantikan Amirudin.
Turut difahamkan, ketika ini Muhammad Sanusi berada di Kuala Lumpur namun belum ada apa-apa pengesahan berkaitan dakwaan terhadapnya setakat ini. – MalaysiaGazette